JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Mengenai Pencegahan Menyebarkan Aliran Dan Dakyah Wahabiah Di Negeri Perak Darul Ridzuan

Kategori: Akidah
Tahun: 2012
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Perak
Keputusan
:

BAHAWASANYA Jawatankuasa Fatwa, pada menjalankan kuasanya di bawah seksyen 36 dan seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 [Enakmen 4 tahun 2004], telah menyediakan fatwa yang terkandung dalam ini:

 

DAN BAHAWASANYA menurut seksyen 37 Enakmen yang sama, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak Darul Ridzuan telah memperkenankan penyiaran fatwa ini dalam Warta dan Kerajaan Negeri telah dimaklumkan tentang fatwa ini:

 

MAKA, OLEH YANG DEMIKIAN, pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 37 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, Jawatankuasa Fatwa, dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat dan menyiarkan fatwa yang berikut:

 

“Aliran dan Dakyah Wahabiah didapati bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam di Perak berdasarkan kepercayaan, perbuatan dan pengamalan seperti berikut :

 

(i) Menolak dan menyesatkan Pengamal pendekatan Tauhid sifat 20;

 

(ii) Menganggap syirik berbagai amalan ahli sunnah seperti Selawat Syifa' dan Selawat Tafrijiyyah;

 

(iii) Mendakwa bahawa pengikut Aliran Asya'irah dan Maturidiyah tidak layak digelar sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah; dan

 

(iv) Menganggap pelaku berbagai amalan ahli sunnah sebagai melakukan bid'ah dhalalah dan akan menjadi penghuni neraka.  

 

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengambil keputusan bahawa;

 

(i) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi penyebar Aliran dan Dakyah Wahabiah adalah disifatkan mengamalkan Aliran dan Dakyah Wahabiah yang berlawanan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asya'irah dan Maturidiyah;

 

(ii) Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang menjadi Ahli Jamaah atau pengikut Aliran dan Dakyah Wahabiah dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan Aliran dan Dakyah Wahabiah, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang berlawanan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asya'irah dan Maturidiyah;

 

(iii) Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan atau persatuan yang cuba menyebarkan  Aliran dan Dakyah Wahabiah sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan Aliran dan Dakyah Wahabiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asya'irah dan Maturidiyah;

 

(iv) apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana Aliran dan Dakyah Wahabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur Aliran dan Dakyah Wahabiah adalah berlawanan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asya'irah dan Maturidiyah; atau

 

(v) apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan aliran dan dakyah Wahabiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur Aliran dan Dakyah Wahabiah dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah dilarang.

 

(vi) Apa jua bentuk tindakan seperti yang dinyatakan di atas perlu dihalang dan diambil tindakan menurut undang-undang.

 

Selanjutnya sila klik:

http://mufti.perak.gov.my/images/perkhidmatan/koleksi_umum/warta_kerajaan/wahabiah.pdf

 

Klik disini untuk mencetak