JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Isu Penamaan “Bin/Binti Abdullah” Kepada Anak Tidak Sah Taraf

Kategori: Munakahat
Tahun: 2017
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Wilayah Persekutuan
Keputusan
:

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Bil. 2 yang bersidang pada 31 Julai 2017 bersamaan 7 Zulkaedah 1438H telah menimbang dan meneliti perkara ini dan mengambil maklum beberapa perkara seperti berikut :


Merujuk kepada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] Seksyen 110 Siapakah yang dikaitkan sebagai bapa menyatakan bahawa“Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.


Oleh itu, mesyuarat bersetuju bahawa hujah yang melarang dibinkan atau dibintikan anak tak sah taraf kepada ayah biologinya berdasarkan dalil kuat daripada nas al-Qur’an, hadith, amalan sahabat dan jumhur fuqaha. 


Nasab anak kepada ibunya tetap sabit pada semua keadaan kelahiran samada secara syarie atau tidak. Adapun nasab anak kepada bapanya, ia tidak sabit kecuali melalui pernikahan yang sahih atau fasid (seperti yang telah kami kemukakan syaratnya) atau wat’i syubhah atau ikrar dengan nasab. Islam telah membatalkan apa yang diamalkan di zaman Jahiliyyah dengan menghubungkan anak-anak hasil daripada zina kepada nasab penzina. Fahaman yang sebenar berkenaan dengan sabda Rasulullah SAW (الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ) adalah dengan makna bahawa anak dinasabkan kepada bapa yang berada dalam perkahwinan yang sahih. Sedia maklum bahawa al-firash dengan maksud perempuan mengikut kebanyakan ulama’ dan dita’birkan dengan maksud dalam keadaan iftirasy.


Adapun zina maka tidak harus menjadi penyebab untuk mensabitkan nasab. Sebaliknya, yang berhak kepada yang berzina adalah direjam dengan batu.


Begitu juga zahir hadith menunjukkan anak dihubungkan dengan bapa atau dibinkannya selepas sabit bersamanya bapa dan ibunya iaitu tidak sabit kecuali selepas berlakunya persetubuhan dalam perkahwinan yang sahih atau fasid. Inilah pendapat jumhur. Sedangkan riwayat Abu Hanifah bahawa sabit semata-mata dengan akad ini kerana semata-mata zhan sudah memadai. Pendapat ini ditolak kerana tertegah hasilnya dengan sebab akad berdasarkan zahir hadis. Bahkan mesti adanya imkan al-wat’i atau kebolehan bersetubuh.


Begitu juga bagi pasangan yang baru memeluk agama Islam dan mempunyai anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat dianggap sah taraf juga di dalam Islam kerana diqiaskan dengan zaman jahiliyyah


Keputusan ini juga mengambil kira bahawa Maslahah Umum (implikasi zina) perlu diutamakan dari Maslahah Khas (anak zina) dan ianya bertepatan dengan maqasid syariah yang utama iaitu memelihara nasab.


 KEPUTUSAN      

Mesyuarat telah meneliti perkara tersebut dan keputusannya adalah seperti berikut :


i. Anak yang tak sah taraf dinisbahkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdu seperti “bin Abdul Ghani” “bin Abdul Rahman” “bin Abdul Latif”


ii. Nasab anak sabit kepada ibunya dalam semua keadaan samada kelahiran syar’ie atau tidak seperti ‘Isa bin Maryam, Muhammad bin Syafie.


iii. Nasab anak dinisbahkan kepada ayahnya seperti “Ziyad bin Abihi


iv. Bagi pasangan yang baru memeluk agama Islam dan mereka mempunyai anak yang dianggap sah taraf dalam perkahwinan sivil atau adat dianggap sah taraf juga di dalam Islam kerana diqiaskan dengan zaman jahiliyyah.

Klik disini untuk mencetak