Hukum Berkaitan Pembangunan Tanah Wakaf Di Bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Hukum Berkaitan Pembangunan Tanah Wakaf Di Bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9). Muzakarah telah memutuskan bahawa:
1. Status Bangunan yang Telah Siap Dibina Di Atas Tanah Wakaf
i) Bangunan yang telah siap dibina di atas tanah wakaf tidak menjadi wakaf secara automatik. Sekiranya pihak JWZH ingin mewakafkannya, ia tidak menjadi halangan.
ii) Bangunan tersebut perlu didaftarkan sebagai harta wakaf yang baru dan perlu memenuhi rukun-rukun wakaf dan enakmen negeri-negeri.
2. Pembangunan Menggunakan Dana Program Pembangunan Harta Wakaf RMK 9 Di Atas Tanah Baitulmal Milik MAIN
i) Tanah baitulmal milik MAIN dan bangunan yang dibina di atas tanah tersebut yang menggunakan dana program pembangunan Harta Wakaf RMK 9 boleh didaftarkan sebagai harta wakaf.
ii) Untuk memenuhi dan mematuhi peraturan syariah, JWZH hendaklah merujuk kepada syarat-syarat wakaf yang sedia ada.
3. Pemajakan Tanah Wakaf Kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan
Tanah wakaf boleh dipajak tetapi tidak boleh dijual.
4. Penjualan Pajakan Unit Kedai/Kediaman/Ruang Pejabat Yang Telah Dibangunkan Di atas Tanah
Wakaf
i) Unit-unit kediaman atau kedai yang dibina di atas tanah wakaf boleh dipajak kepada individu bagi tempoh jangka panjang.
ii) Syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi supaya menepati keperluan syarak adalah berdasarkan Akad Pajakan (sewaan).
5. Status Kerajaan Persekutuan Dalam Pembangunan Tanah Wakaf
i) Kerajaan Persekutuan boleh dianggap sebagai pewakaf dengan syarat peruntukan yang disediakan untuk membangunkan tanah wakaf diniat untuk wakaf.
ii) Sebagai pewakaf, kerajaan berhak menentukan syarat-syarat harta yang diwakafkan. Sungguhpun begitu, perlantikan nazir tidak dibenarkan kerana bercanggah dengan Enakmen sedia ada.
6. Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JWZH) Sebagai Pemegang Amanah Dana Program Pembangunan
Harta Wakaf RMK 9
JWZH boleh menjadi pemegang amanah dana Program Pembangunan Harta Wakaf RMK 9 melalui entiti wakaf kebangsaan yang akan ditubuhkan menerusi usahasama ekonomi dengan MAIN dengan syarat mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak di antara MAIN dan JWZH.
7. Pemegang Amanah Tunggal Wakaf
Isu MAIN sebagai pemegang amanah tunggal wakaf bukan merupakan isu syariah sebaliknya isu dasar yang melibatkan pentadbiran.
8. Wakaf Wang Tunai
Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam.
9. Pengecualian atau Remitan Cukai Tanah Terhadap Harta Wakaf.
Harta wakaf wajar mendapat pengecualian daripada cukai.