JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Penyaluran Hasil Gharamah Institusi Kewangan Islam Ke Baitulmal

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2012
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penyaluran Hasil Gharamah Institusi Kewangan Islam Ke Baitulmal. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:


Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa keharusan mengenakan gharamah ke atas penerima biaya yang mungkir adalah berasaskan hadis Rasulullah SAW yang menyifatkan kelewatan pembayaran hutang oleh orang yang berkemampuan sebagai satu kezaliman dan boleh memudaratkan institusi kewangan Islam.

 

Muzakarah juga berpandangan bahawa gharamah yang dihasilkan dalam institusi kewangan Islam perlu disalurkan kepada institusi yang berkait secara khusus dengan umat Islam supaya ianya tidak disalahgunakan.

 

Sehubungan itu, selaras dengan kedudukan dan fungsi Baitulmal sebagai institusi tertinggi dalam menguruskan wang dan harta umat Islam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hasil gharamah Institusi Kewangan Islam hendaklah disalurkan ke Baitulmal bagi memastikan penggunaan harta tersebut menepati maslahah ammah umat Islam.

 

 

Klik disini untuk mencetak