JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:
Hukum Pembinaan Pusara Negara
Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2012
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4 hingga 6 Julai 2012 telah membincangkan Hukum Pembinaan Pusara Negara. Muzakarah telah membuat keputusan berikut:
 
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa pengurusan jenazah bagi orang Islam mempunyai adab dan akhlaknya sendiri yang perlu dihormati dan begitu juga pengurusan jenazah bagi orang bukan Islam yang mempunyai ritual agama mengikut adat dan budaya amalan mereka.
 
Muzakarah juga menegaskan bahawa unsur-unsur bermewah-mewahan dan pembaziran perlu dielakkan dalam pembinaan mana-mana pusara atau perkuburan.
 
Berdasarkan penjelasan dan perbincangan terperinci, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pembinaan pusara negara seperti yang dicadangkan adalah dibenarkan dengan syarat-syarat seperti berikut:
 
  1. Kawasan perkuburan Islam dan bukan Islam perlu dipisahkan dan jarak yang dipersetujui ialah 243 kaki/74.2 meter  atau lebih oleh jalan dan pagar, dan pandangan perlu dilindungi dengan buffer zone yang ditanam dengan tanaman pagar tinggi.
     
  2. Upacara agama bukan Islam  perlu diadakan di kediaman/rumah ibadat agama masing-masing. Walau bagaimanapun, upacara terakhir (sekiranya perlu sahaja ) sebelum jenazah bukan Islam disemadikan, hanya boleh diadakan di dewan bukan Islam atau di tapak perkuburan bukan Islam sahaja.
     
  3. Bangunan kompleks pusara orang Islam dan bukan Islam perlu dipisahkan dan jarak yang dipersetujui ialah 24 meter atau lebih, iaitu kedua-dua bangunan hanya dihubungkan dengan bumbung sebagai pelindung cuaca hujan.
     
  4. Nama yang dipersetujui ialah Pusara Negarawan.
 
Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pemantauan perlu dibuat dari masa ke semasa oleh JAKIM dan JPM dan sebarang perubahan yang dilakukan perlu dilaporkan kepada Muzakarah.
 
Muzakarah juga bersetuju supaya satu garis panduan disediakan bagi bagi memudahkan pemantauan dan pengurusan pusara berkenaan.
 
Klik disini untuk mencetak