JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Status Hasil Caj Abstraksi Sumber Air Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Daripada Syarikat Yang Menjalankan Aktiviti Operasi Harian Tidak Halal

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2013
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:

 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Kali Ke-104 yang bersidang pada 2-4 September 2013 telah membincangkan Status Hasil Caj Abstraksi Sumber Air Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Daripada Syarikat Yang Menjalankan Aktiviti Operasi Harian Tidak Halal. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

 

  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan-pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan Imam al-Ghazali berpandangan bahawa harta bercampur yang tidak terkira tidaklah dihukum haram dengan sebab percampuran dan kemungkinan-kemungkinan yang wujud antara halal dan haram tersebut, melainkan ada qarinah (tanda-tanda) yang jelas menunjukkan pengharamannya. Nabi SAW juga pernah menerima hadiah dari kerajaan negara asing yang bukan Islam tanpa mempersoalkan sumbernya. Begitulah juga para sahabat r.a. telah mengambil jizyah, ushur dan cukai-cukai lain daripada orang-orang kafir yang wajib dibayar kepada kerajaan Islam tanpa mempersoalkan sumbernya.
  2. Oleh yang demikian, Muzakarah berpandangan bahawa tidak menjadi kesalahan kepada pihak kerajaan atau syarikat yang dilantik kerajaan untuk menerima atau mengenakan caj/cukai kepada sesebuah syarikat perniagaan, sekalipun wujud kemungkinan sumber yang tidak halal kerana pembayaran cukai adalah satu tanggungjawab kepada Kerajaan untuk maslahah ummah. Sekiranya wujud aktiviti yang haram, maka sifat haram tersebut hanyalah pada zimmah pemilik syarikat tersebut bukan kepada orang yang berurusan dengannya sebagaimana firman Alah SWT dalam Surah an-Najm,ayat 39 yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”
  3. Sehubungan itu, mengenai status caj abstraksi sumber air yang dikenakan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kepada syarikat yang menjalankan aktiviti operasi harian tidak halal, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ianya adalah diharuskan kerana selaku pihak yang dilantik oleh pemerintah (Ulil Amri), LUAS bertanggungjawab mengurus dan memberikan perkhidmatan air untuk maslahah ammah seluruh masyarakat.


 

Klik disini untuk mencetak