Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-105 yang bersidang pada 3-5 Februari 2014 telah membincangkan mengenai Kedudukan Amalan Khurafat Di Pulau Besar Melaka. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
-
Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan. Berdasarkan hasil penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:
-
Perbuatan memohon hajat, berdoa dan bermeditasi serta bertawassul di sisi kubur-kubur yang ada di sekitar Pulau Besar merupakan amalan ghuluw yang boleh membawa kepada syirik.
-
Perbuatan memuja dengan tujuan untuk mendapatkan bantuan daripada sesuatu objek seperti di kubur Sultan Al-Arifin Syeikh Ismail, kubur Tujuh Beradik, kubur Syarifah Rodziah, kubur Syeikh Yusuf, kubur Tok Janggut, kubur Nenek Kebayan, Tempayan Pecah, Batu Belah, Gua Yunus, perigi Nenek Kebayan, tasik bunian, tasik biawak dan pokok disula adalah syirik.
-
Perbuatan membaca Surah Yasin, membuat tahlil seterusnya mendoakan hajat bagi pihak orang bukan Islam dengan tujuan supaya permintaan mereka tercapai adalah dilarang oleh Islam.
-
Perbuatan mandi di Perigi Nenek Kebayan dan Tempayan Pecah, menjadikan batu-batu atau objek yang diambil daripada perigi sebagai azimat, membakar colok di sekitar kawasan kubur dan pokok-pokok dengan mempercayai ia boleh memberi manfaat atau mudharat adalah perbuatan khurafat yang jelas dilarang oleh Islam.
-
Perbuatan menjamu orang ramai dengan daging yang dinazar oleh orang Islam dan bukan Islam dan menjual poster yang dipercayai sebagai gambar para sahabat nabi adalah meragukan dari aspek hukum syarak dan perlu dihentikan.
-
Amalan membaca tahlil ketika upacara menaik dan menurunkan bendera serta berjalan kaki tanpa kasut atau selipar menuju ke gua atau perigi serta perbuatan menyapu dan menjirus cairan cendanan berwarna kuning pada batu nisan dan kubur Sheikh Ismail adalah khurafat yang perlu ditegah.
-
Berdasarkan dapatan kajian tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan dan perbuatan yang dilakukan di Pulau Besar Melaka adalah merupakan perkara bida’ah dhalalah dan khurafat yang amat ditegah oleh syarak dan perlu dihentikan segera kerana ianya boleh membawa kepada syirik.
-
Sehubungan itu juga, Muzakarah menggesa supaya tindakan penguatkuasaan bagi membenteras amalan khurafat di Pulau Besar dilaksanakan segera oleh Kerajaan Negeri Melaka. Penjelasan dan kesedaran kepada masyarakat awam hendaklah dilaksanakan supaya amalan khurafat yang berleluasa di Pulau Besar tersebut dapat dihentikan.