JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:
Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) Oleh Mohd. Yusof Cik Wook Yang Disebarkan oleh Haji Shaari Mohd Yusof
Kategori: Akidah
Tahun: 2014
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 telah membincangkan Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) Oleh Mohd. Yusof Cik Wook Yang Disebarkan oleh Haji Shaari Mohd Yusof. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah meneliti fakta-fakta dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah mendapati bahawa Ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) yang disebarkan oleh Haji Shaari bin Mohd Yusoff melalui buku  “Mengenal Diri Ilmu Peninggalan Tok Kenali Kelantan”, “Mengenal Allah Ilmu Peninggalan Tok Kenali” ceramah-ceramah yang disampaikan, DVD siri ceramah  dan Laman Sesawang yang digunakan untuk menyebarkan ajarannya mengandungi perkara-perkara yang mengelirukan dan menyeleweng seperti yang berikut:
 
i. Bertentangan dengan fakta sejarah
Dakwaan ilmu yang diperolehi adalah peninggalan ilmu Syeikh Daud al-Fatani yang diwarisi oleh dua ulama terkenal, iaitu Tok Kenali dan Tok Selehong adalah satu pembohongan, kerana kedua ulama tersebut tidak sempat berguru dengan Syeikh Daud Al-Fatani yang meninggal tahun 1846, iaitu lebih 22 tahun sebelum kelahiran kedua-dua ulama tersebut. 
 
ii. Membawa fahaman Mujassimah, Jabariyyah dan Muktazilah
Jumhur ulama telah bersepakat bahawa fahaman ini adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.
 
iii. Membawa fahaman Liberal dan Pluralisme agama
Fahaman ini juga didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti mana telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai  2006.
 
iv. Membawa fahaman Wahatul Wujud
Doktrin wahdatul wujud ini adalah menyeleweng dari pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah
 
v. Mentafsir nas-nas agama seperti al-Quran dan Hadis mengikut logik akal dan tidak merujuk kepada kitab-kitab muktabar.
 
2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ajaran Ilmu Makrifat (Mengenal Allah/Diri) yang dibawa oleh Haji Shaari bin Mohd Yusof adalah sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

3. Oleh itu, semua bentuk pengajaran, penerbitan dan pengedaran bahan-bahan ajaran beliau melalui apa jua medium hendaklah dihentikan dan diharamkan serta-merta.
 
4. Muzakarah juga menggesa semua pihak berkuasa agama negeri-negeri dan JAKIM serta agensi-agensi lain yang berkaitan supaya mengambil tindakan segera menyekat kegiatan dan penyelewengan Ajaran Ilmu Makrifat ini.
 
Klik disini untuk mencetak