Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-107 yang bersidang pada 10 - 11 Februari 2015 membincangkan Pengurusan Jenazah Orang Islam Yang Disyaki Atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) Di Malaysia. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
-
Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa setiap mayat orang Islam wajib dimandi, dikapan, disembahyang dan dikebumikan. Walau bagaimanapun terdapat pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) kepada hukum ini sekiranya terdapat keadaan-keadaan yang boleh menimbulkan kemudharatan kepada nyawa manusia.
-
Muzakarah juga menegaskan bahawa terdapat risiko tinggi berlakunya jangkitan EVD yang boleh membawa maut kepada orang yang menguruskan jenazah melalui kontak secara langsung dengan air mandian yang telah dicemari dengan cairan badan daripada jenazah seperti darah, muntah, najis, air kencing dan sebagainya.
-
Sehubungan itu, berdasarkan rukhsah yang diberikan dan prinsip ajaran Islam yang menegah umatnya daripada menjerumuskan diri dalam bahaya dan kebinasaan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) hendaklah diuruskan melalui prosedur tayammum yang paling ringan risiko dan kesan bahayanya seperti melakukan tayammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut sahaja.
-
Muzakarah bersetuju supaya satu garis panduan pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Disease : EVD) di Malaysia disediakan bagi memudahkan pengurusan jenazah bagi kes tersebut.