JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:
Kajian Semula Asal Usul Tiupan Rouse Dan Last Post
Kategori: Akidah
Tahun: 2014
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-105 yang bersidang pada 3-5 Februari 2014 telah membincangkan mengenai Kajian Semula Asal Usul Tiupan Rouse Dan Last Post. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah mendengar pembentangan dan meneliti laporan penyelidikan yang telah disediakan oleh Kumpulan Penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan dan Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan hasil penyelidikan yang telah dikemukakan.
 
2. Berdasarkan dapatan penyelidikan tersebut, Muzakarah mendapati bahawa:
 
  1. Tiada unsur tashabbuh dalam Tiupan Rouse dan Last Post kerana tiupan tersebut hanya sebagai penghormatan Negara.
     
  2. Dalam agama Kristian sendiri tidak mengamalkan tiupan dalam aktiviti harian mereka mahupun di gereja. Tiupan Rouse dan Last Post tidak bersumberkan dari agama Kristian
     
  3. Motif penggunaan Tipan Rouse dan Last Post pada masa kini adalah sebagai alat komunikasi tentera dan ditiup di dalam kem.
     
  4. Penggunaan Tiupan Rouse dan Last Post adalah universal. Ia bermula apabila berlaku pertembungan di antara Barat dan Kerajaan Islam Uthmaniah, malah Barat juga mengambil dan mengubahsuai penggunaan muzik dari Kerajaan Islam Uthmaniah.
     
  5. Tidak ada ulama di Negara-negara Islam yang merdeka yang mengharamkan penggunaan alat-alat muzik dalam tentera.
     
  6. Didapati bahawa dalam lirik Rouse dan Last Post juga hanya menunjukkan kata-kata semangat dan tiada unsur-unsur syirik dan lagha.
3. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Tiupan Rouse dan Last Post tidak mengandungi unsur syirik, tashabbuh dan tidak bersumberkan kepada amalan agama Kristian atau Yahudi.
 
4.  Muzakarah juga berpandangan bahawa walaupun muzik atau bunyi-bunyian tiada halangan di dalam Islam, tetapi ia dibenarkan selagimana tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Dalam hal ini Muzakarah menegaskan bahawa penggunaan bunyi-bunyian atau muzik tidak perlu dilaksanakan dalam pengurusan jenazah orang Islam samada dalam tentera atau sebagainya.
 
Klik disini untuk mencetak