JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:
Had Kemuallafan Seseorang Saudara Baru
Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-108 yang bersidang pada 2-3 November 2015 telah membincangkan mengenai Had Kemuallafan Seseorang Saudara Baru. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mengambil perhatian terhadap kebimbangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu bahawa setakat ini tiada keseragaman oleh negeri-negeri tentang had tahun bagi seseorang untuk dipanggil muallaf dan ini boleh mengakibatkan golongan Saudara Baru/ Muallaf menuntut hak-hak seperti zakat di negeri-negeri lain yang mungkin had tahun lebih lama atau mungkin tiada dinyatakan langsung.
 
2. Muzakarah berpandangan bahawa penyelarasan tentang had tahun ini sangat perlu bagi mengelakkan golongan Saudara Baru/Muallaf ini meminta-minta dan sekiranya pengurusan kebajikan Saudara Baru/Muallaf ini dilaksanakan dengan betul, sekurang-kurangnya tempoh tiga (3) tahun sudah mencukupi untuk mereka mendapat bimbingan dan pendidikan Islam. Mereka juga boleh memohon bantuan zakat di bawah asnaf lain sekiranya layak.
 
3. Bagi memantapkan lagi pengurusan kebajikan golongan Saudara Baru/Muallaf di Malaysia, Muzakarah bersetuju menerima cadangan supaya diwujudkan penyeragaman had tempoh panggilan Muallaf Saudara Baru negeri-negeri seluruh Malaysia seperti yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu.
 
4. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju menetapkan had tempoh maksima bagi seseorang Saudara Baru dipanggil Muallaf ialah lima (5) tahun. Walaubagaimanapun, selaras dengan kuasa agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, maka Majlis Agama Islam Negeri berhak membuat sebarang pengecualian yang dikehendaki.
 
Klik disini untuk mencetak