JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Penyucian Dividen Simpanan Ahli KWSP Sedia Ada Sebelum Bertukar Ke Akaun KWSP Yang Diuruskan Mengikut Prinsip Syariah (KWSP-Islamik)

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2015
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Bil. 2/2015 yang bersidang pada 18 Ogos 2015 telah membincangkan mengenai isu Penyucian Dividen Simpanan Ahli KWSP Sedia Ada Sebelum Bertukar Ke Akaun KWSP Yang Diuruskan Mengikut Prinsip Syariah (KWSP-Islamik). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

 

Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah mendapati bahawa:

 

1. Selaku pemegang amanah ke atas simpanan ahli KWSP, keuntungan yang diperolehi oleh KWSP adalah berbentuk takassub (usaha) dan bukan secara ghasab (pengambilan harta tanpa hak atau secara zalim). Dividen yang diterima oleh ahli KWSP diperolehi melalui transaksi pelaburan yang dilakukan mengikut lunas undang-undang dan berdasarkan kontrak yang dipersetujui bersama.

 

2. KWSP merupakan pemegang amanah yang diberi mandat untuk menguruskan simpanan ahli-ahli di bawah Akta KWSP 1991, di mana majikan diwajibkan untuk mencarum dengan KWSP bagi pihak ahli dan setakat ini tiada sebarang pilihan diberikan kepada ahli dan mereka tiada hak tasarruf (mengurus) dalam urusan simpanan mereka sejak dari awal mencarum dalam KWSP. Simpanan tersebut akan menjadi hak dan milik ahli KWSP setelah mencapai had umur yang ditetapkan.

 

3. Berdasarkan amalan semasa perbankan dan kewangan Islam di Malaysia, tiada sebarang ketetapan yang pernah dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia atau Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang mewajibkan pelanggan perbankan Islam untuk menyucikan terlebih dahulu sebarang pendapatan tidak patuh syariah yang diterima sama ada daripada aktiviti perbankan konvensional atau daripada sumber-sumber lain sebelum boleh mendeposit atau melabur ke dalam produk patuh syariah yang ditawarkan oleh institusi perbankan dan kewangan Islam.

 

4. Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia juga telah mengeluarkan resolusi membenarkan segala dividen yang diterima daripada produk konvensional dilaburkan semula ke dalam produk patuh syariah.

 

5. Sehubungan itu, berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan dan bagi menjaga kepentingan dan maslahah ahli KWSP yang beragama Islam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke akaun KWSP-Islamik.

 

Klik disini untuk mencetak