JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:
Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Mengenai Sabitan Tarikh Anggapan Kematian Mangsa MH370 Dan Tuntutan Syarak Yang Berkaitan Dengannya
Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2015
Status Pewartaan: N/A
Negeri: N/A
Keputusan
:
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Bil. 1/2015 yang bersidang pada 20 April 2015 telah membincangkan mengenai Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Mengenai Sabitan Tarikh Anggapan Kematian Mangsa MH370 Dan Tuntutan Syarak Yang Berkaitan Dengannya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
 
1. Muzakarah menarik perhatian mengenai isu sabitan tarikh anggapan kematian mangsa tragedy MH370 di mana pihak Jabatan Peguam Negara telah pun menetapkan pada 8 Mac 2014 (iaitu tarikh kehilangan MH370) dan Jabatan Pendaftaran Negara juga telah pun menguruskan Perakuan Kematian Dan Surat Anggapan Kematian Kepada 6 orang waris penumpang mengikut ketetapan tarikh tersebut.
 
2. Muzakarah berpandangan bahawa ketetapan tarikh ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan Muzakarah telah pun mengeluarkan pandangan hukum bahawa tragedi MH370 dikategorikan sebagai Mafqud (Anggapan Orang Hilang) mengikut hukum fiqah. Apabila ianya telah diputuskan sebagai Mafqud, maka para ulama’ telah bersepakat bahawa perlu ada tempoh pencarian sebelum disabitkan tarikh kematiannya. Muzakarah berpandangan bahawa sepatutnya tarikh anggapan kematian ini dibuat secara berhati-hati dengan meraikan pandangan Hukum Syarak kerana ia melibatkan banyak lagi hokum yang berkaitan dengan tuntutan syarak seperti pewarisan, tempoh iddah dan sebagainya.
 
3. Sehubungan itu, berdasarkan nas-nas syarak yang telah dikemukakan sejajar dengan ketetapan hokum Mafqud dalam kes ini, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa tarikh sabit anggapan kematian mangsa MH370 adalah ditetapkan pada 29 Januari 2015 selaras dengan pengisytiharan Kerajaan selaku Ulil Amri selepas tempoh pencarian dilakukan secara bersungguh-sungguh selama setahun dengan pelbagai kepakaran dari dalam dan luar Negara.
 
4. Muzakarah juga berpandangan bahawa pengisytiharan kematian pada 8 Mac 2014 tidak boleh dianggap sebagai tarikh kematian, tetapi hanya sebagai pemakluman kehilangan sahaja.
 
Klik disini untuk mencetak