Perlaksanaan Had Kifayah Fakir Miskin Negeri Johor.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 27 Jamadilakhir 1424 bersamaan 25 Ogos 2003 telah membincangkan mengenai Perlaksanaan Had Kifayah Fakir Miskin Negeri Johor.
Alhamdulillah fatwanya:
1. Takrif Had Kifayah:
i. Dari segi bahasa : Kadar kecukupan
ii. Dari segi istilah : Kadar minima keperluan asas dalam kehidupan seeorang (yang pada kebiasaannya).
Had ini digunakan bagi menentukan kadar yang perlu dibantu untuk memenuhi keperluan asas bulanan setiap individu dan tanggungan di bawahnya.
2. Takrif Fakir
Seseorang yang tidak mempunyai harta dan hasil usaha ( pekerjaan ) yang boleh memenuhi keperluan asas ( daruriat ) bagi dirinya dan tanggungan di bawahnya bukan keperluan tambahan ( hajiat ) dan bukan keperluan kemewahan ( tahsinayat ), termasuk juga mereka yang tidak ada daya usaha dengan sebab seperti penyakit, dan jika ( perempuan ) tidak mempunyai suami, bapa dan datuk ke atas, atau anak dan cucu ke bawah yang wajib memberi nafkah kepadanya dari segi hukum syarak serta tidak mempunyai makanan yang mencukupi, pakaian dan tempat tinggal bagi dirinya dan tanggungan di bawahnya.
Sebagai contoh : seseorang yang memerlukan kepada RM 300 sebulan tetapi hanya memperolehi tidak sampai 50% daripada keperluan tersebut untuk menampung keperluan asas diri dan tanggungan di bawahnya.
3. Takrif Miskin
Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asas (daruriat) tetapi mencukupi untuk dirinya dan orang di bawah tanggungannya.
Sebagai contoh: seseorang yang memerlukan kepada RM 300 sebulan tetapi hanya memperolehi separuh (50%) atau lebih tetapi tidak sampai memenuhi keperluan asas sebenar bagi dirinya dan tanggungan di bawahnya.
4. Takrif Orang Kaya
i. Seseorang yang mempunyai harta yang boleh diusahakan dan hasil usahanya memenuhi keperluan asas mengikut kadar had kifayah, atau
ii. Seseorang yang mempunyai pekerjaan dan pendapatannya memenuhi keperluan asas had kifayah, atau
iii. Seseorang perempuan yang mempunyai suami atau bapa atau datuk ke atas atau anak-anak dan cucu-cucu ke bawah yang wajib dan mampu memberi nafkah yang mencukupi had kifayah dari segi hukum syarak, atau
iv. Seseorang yang mempunyai makanan yang mencukupi juga pakaian dan tempat tinggal mengikut hukum syarak, atau
v. Seseorang yang mampu memiliki keperluan tambahan ( hahiyat ) dan keperluan kemewahan ( tahsinayat ) dalam kehidupan seharian, atau
vi. Seseorang yang kaya dengan tenaga usaha ( mempunyai kesihatan tubuh badan yang baik tanpa kecacatan dalam usaha yang pada adatnya boleh berusaha dan bekerja ) tetapi tidak mahu melibatkan diri dalam pekerjaan yang halal, hanya ingin mendapat bantuan percuma sahaja sedangkan pekerjaan yang halal banyak, atau
vii. Mereka yang mempunyai harta tetapi tidak mahu mengusahakannya kerana malas, hanya suka meminta-minta.
5. Had Kifayah
Sistem agihan ke atas golongan fakir miskin sama ada Islam asal atau mualaf (yang telah lama memeluk Islam dan telah kuat keimanannya) adalah berasaskan kepada keperluan asas (daruriyat), bukan keperluan tambahan (hajiyat) dan buka keperluan kemewahan (tahsinayat) seseorang itu mengikut kaca mata Islam bagi diri dan keluarga di bawah tanggungannya sesuai dengan tempat (lokasi) dan masa serta status sosial seseorang itu bagi keperluan minima iaitu:
i. Makanan
Segala bahan makanan dan minuman asas yang diperlukan atau dimakan oleh seeorang individu dan tanggungan di bawahnya yang memenuhi keperluan asas sama ada ketika berada di dalam atau di luar rumah.
ii. Pakaian
Segala bentuk pakaian yang digunakan atau dipakai oleh seseorang individu dan tanggungan di bawahnya merangkumi pakaian harian, pakaian sekolah, pakaian kerja dan lain-lain pakaian asas.
iii. Perlindungan
Perlindungan ialah perbelanjaan menyediakan perlindungan untuk diri dan tanggungan di bawahnya merangkumi sewa rumah atau bayaran ansuran rumah murah, bil air dan elektrik serta segala yang bersangkutan dengan keperluan asas sesebuah tempat tinggal (lokasi) berasaskan keperluan minima.
iv. Pendidikan
a. Perbelanjaan pendidikan fardu ain.
b. Perbelanjaan berkaitan pendidikan diri, ahli keluarga sama ada diperingkat pra sekolah, rendah, menengah dan pengajian tinggi, juga meliputi keperluan yang berkaitan pendidikan tersebut seperti pembelian peralatan pelajaran dengan syarat tidak dapat bantuan atau pinjaman daripada sumber-sumber lain.
v. Kesihatan
Merujuk kepada segala bentuk:
a. Rawatan biasa
b. Pembelian ubat-ubat biasa
c. Pembelian alat-alat perubatan biasa
d. Rawatan major melalui hospital kerajaan kecuali ada perakuan dari pihak hospital kerajaan dengan sebab-sebab tertentu
e. Tambang yang berpatutan
vi. Pengangkutan
Iaitu keperluan pengangkutan tambang untuk pergi dan balik dari tempat kerja atau tambang pergi dan balik ke sekolah (pengangkutan awam - bas) atau tambang untuk tujuan rawatan.
6. Kategori Indvidu Dalam Had Kifayah
Bagi penentuan tanggungan had kifayah ianya meliputi:
i. Ketua Keluarga
- Merujuk kepada suami, isteri, ibu, bapa dan penjaga.
ii. Dewasa
- Isteri atau suami yang ditanggung oleh ketua keluarga sama ada bekerja atau tidak
- Ibu atau bapa yang wajib disara
- Tanggungan yang bersekolah walaupun di pusat pengajian tinggi atau tidak bersekolah melebihi umur 18 tahun
- Tanggungan atau anak yang bekerja tetapi masih tinggal bersama
iii. Remaja
- Sekolah menengah (13 - 17 tahun)
iv. Kanak-kanak
- lahir - 4 tahun
- pra sekolah ( 5 - 6 tahun )
- sekolah rendah ( 7 - 12 tahun )
7. Kadar keperluan asas di Negeri Johor (dalam RM)
Kadar ini ditentukan berdasarkan beberapa fakor sebagaimana berikut :
i. Perkiraan berdasarkan indeks saran hidup di Malaysia
- Indeks sara hidup ( ISH ) adalah statistik yang amat penting menentukan perubahan kos sara hidup dari satu kawasan ke satu kawasan dan dari semasa ke semasa.
- Keperluan indeks sara hidup amat jelas terutamanyadalam menentukan pelarasan bantuan sara hidup kepada golongan fakir dan miskin. Ianya boleh juga digunakan untuk menentukan tekad "kuasa beli" yang diperlukan bagi sesuatu isi rumah itu mengekalkan taraf hidup yang sama dari semasa ke semasa.
Definisi Indeks Sara Hidup
- Indeks sara hidup adalah satu angka relatif yang mengukur perubahan tingkat perbelanjaan keluarga bagi keperluan-keperluan asas pada satu-satu masa di sesuatu lokasi.
- Ianya dikira berdasarkan pada suatu tahun asas dan juga berdasarkan harga bagi "a fixed basket of goods and services" disesuatu lokasi disepanjang suatu tempoh tertentu.
- " a fixed basket of goods and services " ini adalah komponen-komponen perbelanjaan sara hidup. Komponen-komponen ini adalah terdiri daripada makanan, pakaian, perubatan, pendidikan, pengangkutan dan perumahan.
- Indeks sara hidup yang meningkat menunjukkan perbelanjaan bagi keperluan asas ini meningkat berbanding tahun asa berkenaan dan begitu juga sebaliknya.
- Kesimpulannya, indeks sara hidup diertikan sebagai nisbah di antara biaya saran minimum yang diperlukan pada masa kini dan biaya sebenar pada tahun asas.
Proses Pengumpulan Data
- Indeks sara hidup memerlukan tatacara pengumpulan data yang sistematik. Buat masa ini, badan yang mengumpul dan menganalisis data secara khusus ialah Jabatan Perangkaan.
- Antara maklumat yang diperolehi secara berkala dan berterusan adalah maklumat demografi seperti tempat tinggal ( lokasi ), saiz keluarga, bilangan dan umur ahli keluarga, pendapatan, pecahan perbelanjaan, kaum, bilangan anak bersekolah, maklumat diri setiap ahli keluarga, harga-harga barangan keperluan asas dan masa bancian.
- Maklumat tersebut kemudiannya akan diproses dan dianalisis berdasarkan kaedah pengiraan indeks sara hidup yang dipilih sama ada menggunakan kaedah indeks mudah, kaedah indeks terlaras secara umum atau pun kaedah indeks terlaras mengikut tempat dan nisbah perbelanjaan.
- Untuk mendapat kadar Johor = kadar wilayah x 1.12
1.08
ii. Statistik sokongan dari Jabatan Perangkaan Negeri Johor.
iii. Asas kadar harga yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
8. Jadual Kadar keperluan asas di Johor
Kategori Keperluan Asas
Ketua
Keluarga
Dewasa
Sek. Men.
13 - 17
Tahun
Kanak-Kanak
Sek. Rendah
7 - 12 Tahun
Kanak-Kanak
6 ( Pra ) Tahun
Ke Bawah
Perlindungan 300 - - - -
Makanan 85.40 85.40 85.40 56.90 56.90
Pakaian 15 15 15 10 10
Perubatan 10 10 10 10 10
Pendidikan - - 40 40 20
Pengangkutan 50 - 30 20 20
Jumlah
460.40
110.40
180.40
136.90
116.90
9. Penambahan Pengiraan (Tuntutan)
Jenis Kes
Penambahan ( RM )
Sakit Kronik 150.00
Cacat Semulajadi 150.00
Cacat Mendatang 150.00
Ibu Tunggal 150.00
Anak Menuntut di IPTA 150.00
Keluarga Bermasalah
- Suami dalam penjara
- Suami penagih dadah
- Suami penghidap AIDS
150.00
Lain-lain tuntutan 150.00
10. Penolakan pengiraan kadar had kifayah pula berlaku sekiranya terdapat perkara berikut:
Jenis Kes
Penambahan ( RM )
Kenderaan bermotor 200
Barang kemas ( emas ) yang lebih daripada adapt 100
Vcd 50
Astro 100
Air Cond 100
Hi-Fi 50
Wang simpanan ( tidak lebih nisab zakat )
( Jumlah wang dibahagiakn 12 bulan )
11. Jadual Had Kifayah secara ringkas:
Isi Rumah
Had Kifayah ( RM )
Jumlah ( RM )
Ketua keluarga 460.40 460.40
Suami + isteri 460.40 + 110.40 570.80
Suami + isteri + anak ( menengah ) 460.40 + 110.40 + 180.40 751.20
Suami + isteri + anak ( menengah ) + anak ( rendah ) 460.40 + 110.10 + 180.40 + 136.90 888.10
Suami + isteri + anak ( menengah ) + anak ( rendah ) + anak ( 6 tahun ke bawah ) 460.40 + 110.40 + 180.40 + 136.90 + 116.90 1,005.00
Berdasarkan jumlah tersebut, ianya perlu ditolak dan ditambah dengan nilai penambahan dan penolakan bagi mendatangkan kadar had kifayah yang sebenar.
12. Penetapan kadar penerimaan bantuan ( RM )
Bagi penetapan kadar penerimaan bantuan, 3 kaedah penetapan kadar telah
dikemukakan sebagaimana berikut :
i. Kaedah 1
Deposit daripada Had Kifayah Jumlah RM diberi
RM100.00 hingga RM200.00 RM100.00
RM201.00 hingga RM300.00 RM150.00
RM301.00 hingga RM400.00 RM200.00
RM401.00 hingga RM500.00 RM250.00
RM501.00 hingga RM600.00 RM300.00
RM601.00 hingga RM800.00 RM350.00
RM801.00 ke atas RM400.00
ii. Kaedah 2
Bantuan diberi berdasarkan gerak deposit yang berlaku atas pendapatan dan perbelanjaan. Sebagai contoh: pendapatan RM 500.00 manakala had kifayah RM 1,005.00 bantuan diberikan ialah RM 505.00.
iii. Kaedah 3
Deposit daripada Had Kifayah Jumlah RM diberi
RM50.00 hingga RM150.00 RM100.00
RM151.00 hingga RM200.00 RM150.00
RM201.00 hingga RM250.00 RM200.00
RM251.00 hingga RM300.00 RM250.00
RM301.00 hingga RM350.00 RM300.00
RM401.00 hingga RM800.00 RM350.00
RM801.00 ke atas RM400.00