JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Mengenai Pengharaman Ajaran Dan Fahaman Syiah Di Negeri Perak Darul Ridzuan

Kategori: Akidah
Tahun: 2012
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Perak
Keputusan
:

Ajaran dan Fahaman Syiah didapati bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan masyarakat Islam di Perak berdasarkan kepercayaan dan perbuatan seperti berikut:

 

  1. menambah atau mengurangi lafaz dan kandungan syahadah yang berlainan daripada lafaz dan syahadah yang menjadi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah;
  2. Mentaati Imam-Imam dan mempercayai mereka sebagai maksum serta mempunyai sifat-sifat dan kelebihan yang luar biasa;
  3. Mempercayai bahawa berlakunya penyelewengan (tahrif) sama ada pengurangan atau penambahan di dalam Al-Quran serta mempercayai bahawa Al-Quran mengandungi tujuh belas ribu ayat;
  4. Menolak hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para sahabat Rasulullah S.A.W. dan hanya menerima hadis-hadis yang diriwayatkan oleh para Imam 12;
  5. Mencerca dan menghina para sahabat yang diredai oleh Allah S.W.T. dan para isteri Rasulullah SAW dengan menuduh mereka sebagai pembohong, pengkhianat dan murtad;
  6. Mempercayai Al-Raja’ah iaitu Allah SWT akan menghidupkan semula orang yang telah mati ke dunia sebelum berlakunya Qiamat bersama-sama Imam Mahadi;
  7. Mengamalkan Al-Taqiah iaitu menyembunyikan hakikat aqidah, pendapat yang menjadi pegangan dan amal perbuatan yang ingin dilakukan;
  8. Mengamalkan nikah Mut’ah;
  9. Mempercayai amalan menziarah maqam Saidina Ali KW akan memperolehi ganjaran Syurga; dan
  10. Melakukan upacara memukul dan menyeksa tubuh sempena 10 Muharam.

 

Oleh yang demikian, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengambil keputusan bahawa:

 

  1. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang menjadi pengikut ajaran dan fahaman ini adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah;
  2. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jamaah atau pengikut Syiah dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Syiah, adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah;
  3. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali ajaran dan fahaman Syiah sama ada melalui apa-apa rangkaian, atau mana-mana pertubuhan atau persatuan yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Syiah adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah;
  4. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman Syiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Syiah adalah bercanggah dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah; atau
  5. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman Syiah atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan denganunsur-unsur ajaran, pegangan atau fahaman Syiah dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah dilarang;
  6. Orang-orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, risalah, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen; menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah kepada mana-mana harta alih atau tak alih, dan semua pihak dilarang daripada memberi apa jua kemudahan dan bantuan;
  7. Apa jua bentuk tindakan seperti yang dinyatakan di atas perlu dihalang dan diambil tindakan menurut undang-undang.


Selanjutnya sila klik: http://mufti.perak.gov.my/images/perkhidmatan/koleksi_umum/warta_kerajaan/syiah.pdf

 

 

Klik disini untuk mencetak