Perbomohan Meragukan Di Gunung Ledang Tangkak Muar
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 12 Rabiul Akhir 1422 bersamaan 4 Julai 2001 telah membincangkan mengenai Perbomohan Meragukan Di Gunung Ledang Tangkak Muar.
Alhamdulillah fatwanya:
"Upacara pembomohan yang dilakukan di Gunung Ledang oleh bomoh tersebut adalah jelas bertentangan dengan akidah dan akhlak perubatan Islam." Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:
a) Penyelewengan akidah
i. Proses memanggil roh-roh, jin-jin, atau perewang bagi mengubati pesakitnya. Ini bercanggah dengan Al-Quran surah Al-Jin ayat 6 yang bermaksud:
'Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan Jin. Kerana dengan permintaan itu menjadikan golongan Jin bertambah sombong dan jahat'
Amalan ini juga bercanggah dengan Al-quran surah Al-Fatihah ayat 5 yang bermaksud:
" Engkau sahaja (Ya allah) yang kami sembah, dan kepada engkau sahaja kami memohon pertolongan."
ii. Peresapan makhluk halus ke dalam tubuh tersebut atau dikenali dengan istilah sebagai "menurun". Perbuatan ini berasal dari pengaruh animisme mempercayai wujudnya "super power" lain selain dari Allah S.W.T. Perbuatan ini adalah syirik. Ia bercanggah dengan Al-Quran surah Yusof ayat 106 yang bermaksud:
'Dan janganlah engkau ( wahai Muhammad ) menyembah atau memuja yang lain selain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh yang demikian jika engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang yang berlaku zalim ( terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu ).'
b) Bertentangan dengan Akhlak perubatan Islam.
i. Ada unsur khurafat serta tahyul seperti mempercayai sebuah kolam yang bergelar "kolam nenek" yang boleh memulihkan segala jenis penyakit.
ii. Ada unsur dakwaan palsu dengan mengistiharkan bahawa beliau mengetahui peristiwa atau perkara di luar pengetahuan manusia seperti kolam nenek dijaga oleh Nabi Khidir, kesemua perbuatan yang yang mendampingi beliau adalah para nabi dan orang soleh yang hidup di alam ghaib dan belum mati lagi, begitu juga mengatakan bahawa nenek kebayan adalah Siti Hawa isteri Nabi Adam a.s.
c) Upacara perbomohan yang diketuai oleh bomoh tersebut adalah sesat dan menyesatkan.
Oleh yang demikian, sesiapa yang mengamalkan atau mengajar atau menghurai atau menyeru atau menyebar atau bersubahat dengan apa-apa cara jua pun akan upacara pembomohan tersebut adalah melakukan kesalahan.