Hukum Memegang Wang Yang Diterima Dari Bahagian Makanan Tidak Halal Di Pasar Raya Besar.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 2/2007 yang bersidang pada 20 Rabiulakhir 1428h bersamaan 8 Mei 2007 telah membincangkan mengenai Hukum Memegang Wang Yang Disyaki Terkena Najis Mughallazah Dari Bahagian Makanan Tidak Halal Di Pasar Raya Besar. Mesyuarat bersetuju memutuskan seperti berikut :
a) Harus memegang atau menyentuh wang tunai yang diterima dari bahagian makanan tidak halal yang menjual daging khinzir di mana-mana pasar raya besar memandangkan ia adalah perkara "umum al-balwa (kerumitan meluas yang sukar dielakkan). Dalam hal ini, memegang atau menyentuh wang tunai yang sentiasa beredar dari tangan ke tangan pelbagai kelompok manusia yang disyaki telah terkena najis adalah sesuatu yang amat sukar dielakkan. Oleh yang demikian, prasangka terhadap kenajisan wang tersebut tidak dapat dijadikan hujah yang kuat untuk menetapkannya sebagai mutanajjis (bernajis) kerana ia timbul daripada perasaan was-was.
b) Bagaimanapun, pihak pengurusan Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. dinasihatkan agar dapat memastikan jurujual dan juruwang yang bertugas mengendalikan makanan tidak halal mematuhi garis panduan berikut:
i. Hanya pekerja bukan Islam sahaja yang mengendalikan bahagian makanan tidak halal.
ii. Hanya jurujual sahaja yang mengendalikan pembungkusan daging khinzir. Pengendalian barangan yang tidak berbungkus seperti sosej dan daging khinzir segar hendaklah dilakukan oleh jurujual yang bertugas mengikut yang dikehendaki atau ditunjuk oleh pelanggan.
iii. Juruwang tidak mengendalikan daging yang terdedah tetapi daging yang telah siap dibungkus oleh jurujual untuk mengimbas harga, menerima bayaran daripada pelanggan dan memasukkannya ke dalam plastik untuk diserahkan kepada pelanggan.
iv. Wang yang diberikan oleh pelanggan hanya dikendalikan oleh juruwang dan bukannya jurujual.