Hukum Peraduan Melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil. 2/2006 yang bersidang pada 2 Safar 1427H bersamaan 2 Mac 2006 telah membincangkan mengenai Hukum Peraduan Melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS). Mesyuarat bersetuju memutuskan seperti berikut:
Menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-64 pada 27 Julai 2004 seperti berikut:
'Peraduan kuiz melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan seumpamanya adalah mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan dan nasib yang tergolong dalam pengertian judi. Dari itu, hukum peraduan kuiz tersebut adalah haram di sisi syara'.