JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Kepercayaan, Ajaran, Amalan dan Pegangan Arifin bin Mohd @ Ayah Pin

Kategori: Akidah
Tahun: 2007
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Johor
Keputusan
:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 26 Julai 2007 telah membincangkan mengenai Kepercayaan, Ajaran, Amalan dan Pegangan Arifin bin Mohd @ Ayah Pin.

 

Alhamdulillah fatwanya:

 

1. Bahawasanya kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangan Arifin bin Mohd @ Ayah Pin adalah karut, palsu, sesat lagi menyesatkan, menyeleweng, bertentangan dengan aqidah, syariat dan akhlak Islam serta boleh membawa ancaman kepada ummah, negara dan ketenteraman orang awam kerana antara kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya:

  • 1.1. menghina Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w dan umat Islam;


  • 1.2. menghina dan mempersenda Rukun Iman dan Rukun Islam;


  • 1.3. kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya mengandungi unsur kesatuan agama yang sekaligus boleh diertikan mengiktiraf kebenaran agama selain Islam;


  • 1.4. mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib iaitu perkara-perkara yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah s.w.t seperti syurga dan neraka;


  • 1.5. mendakwa kiamat tidak akan berlaku;


  • 1.6. mendakwa bahawa Al-Quran adalah usaha (ciptaan) daripada Nabi Muhammad s.a.w yang dicantumkan daripada kitab Zabur, Taurat dan Injil;


  • 1.7. memuji-muji Ayah Pin dengan bersyair atau bernazam lebih afdhal daripada berzikir dan sholat; dan


  • 1.8. sholat lima waktu tidak wajib dan mengerjakan amalan haji adalah sesuatu yang sia-sia.

2. Orang Islam negeri ini, dilarang melibatkan diri dengan kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangan Arifin bin Mohd @ Ayah Pin sama ada dengan cara:

  • 2.1. mempercayai atau mengamalkannya atau mengajarkannya kepada orang lain, atau


  • 2.2. menyimpan atau mencetak atau menyalin atau mempamer atau menjual atau membeli atau mengambil gambar atau menerima dan memberi hadiah atau menyebarkan apa-apa maklumat berkaitan dengan kepercayaan, ajaran, amalan, pegangan dan kegiatannya sama ada melalui media cetak atau media elektronik; atau


  • 2.3. menjalankan upacara atau apa sahaja kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya seterusnya membuat lawatan atau kunjungan, mengundang atau menerima kehadirannya (Ayah Pin) atau pengikut-pengikutnya sama ada untuk menyebarkan kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya atau tujuan-tujuan yang lain seterusnya memberikan sokongan moral atau material atau kedua-duanya sekali kepadanya atau sesiapa yang terlibat dengan kepercayaan, ajaran, amalan dan pegangannya.
Klik disini untuk mencetak