Penambahbaikan Taarif Had Kifayah, Asnaf Zakat Dan Kadar Baru Had Kifayah Bahagian Baitulmal MAIWP Bagi Tahun 2013
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-85 yang telah bersidang pada 3 Disember 2013 telah berbincang dan bersetuju menerima penambahbaikan taarif had kifayah, asnaf zakat dan kadar baru Had Kifayah seperti berikut :
(a) Takrif Had Hifayah
(i) Had kifayah dari sudut bahasa ialah kadar keperluan (kecukupan). Manakala dari sudut istilah ialah kadar minima bagi keperluan asas dalam kehidupan seseorang.
(ii) Penilaian bagi menentukan Had Kifayah adalah merangkumi 6 aspek keperluan asasi manusia seperti berikut:
(1) Perlindungan
Perbelanjaan menyediakan perlindungan untuk diri dan tanggungan di bawahnya merangkumi sewa rumah atau bayaran ansuran rumah murah, bil air, dan elektrik serta segala yang bersangkutan dengan keperluan asasi sebuah tempat tinggal berasaskan keperluan minima.
(2) Makanan
Segala bahan makanan dan minuman asasi yang diperlukan atau dimakan oleh seseorang individu dan tanggungan di bawahnya yang memenuhi keperluan asasi sama ada ketika berada di dalam atau di luar rumah.
(3) Pakaian
Segala bentuk pakaian yang digunakan atau dipakai oleh seseorang individu dan tanggungan di bawahnya merangkumi pakaian harian, pakaian kerja dan lain-lain pakaian asas.
(4) Perubatan
Merujuk kepada segala bentuk perubatan iaitu:
· Rawatan biasa;
· Pembelian ubat biasa;
· Pembelian alat-alat perubatan biasa dan;
· Rawatan major daripada mana-mana pusat perubatan
· Rawatan alternatif lain
(5) Pendidikan
Merujuk kepada bentuk pendidikan iaitu:
· Perbelanjaan pendidikan Fardhu Ain
· Perbelanjaan berkaitan pendidikan diri, ahli keluarga sama ada di peringkat pra sekolah, rendah, menengah, kolej dan IPTA. Ianya juga meliputi keperluan yang berkaitan pendidikan tersebut seperti pembelian peralatan pelajar.
(6) Pengangkutan
Segala perbelanjaan yang berkaitan pengangkutan berbayar (tambang) oleh seseorang individu dan tanggungannya serta musafir yang diharuskan oleh syara’.
(iii) Penilaian had kifayah ini dibuat berdasarkan nas-nas seperti berikut:
(1) Pandangan daripada Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalam kitabnya Usul Fiqh Islami pada jilid ke 2 yang bermaksud:
‘Keperluan itu ialah kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh manusia untuk memudahkan kehidupan mereka menghindarkan dari kepayahan hidup dan ketiadaannya akan menyebabkan hidup mereka ditimpa kesusahan dan kesulitan’.
(2) Pandangan daripada Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmuk pada jilid ke 6 bermaksud:
‘Berkata sahabat kami: Perkara yang diambil kira di dalam menentukan had kecukupan seseorang adalah pada makanan, pakaian, tempat tinggal dan semua perkara yang diperlukan bersesuaian dengan keadaannya tanpa berlebihan dan tidak menyusahkan pada diri seseorang dan mereka berada di bawah tanggunggannya’.
(b) Takrif Asnaf Zakat
(i) Fakir
Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan daripada sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungannya.
(ii) Miskin
Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung orang-orang tanggungannya
(iii) Amil
Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samaada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, pengagihan, pengurusan kewangan dan sebagainya.
(iv) Muallaf
Mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya) terbahagi kepada dua iaitu:-
(a) Beragama Islam
· Baru memeluk agama Islam.
· Orang yang memeluk Islam tetapi masih lemah imannya.
(b) Bukan beragama Islam
· Boleh dipujuk supaya masuk Islam.
· Cenderung hatinya kepada ajaran Islam.
· Ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang baik hubungannya dengan ketua-ketua Islam.
· Masyarakat orang Asli yang boleh dipujuk supaya menganut Islam.
(v) Ar-Riqab
Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan sama ada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah tawanan orang-orang tertentu.
(vi) Al-Gharimin
Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungan atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera yang dibenarkan oleh syarak.
(vii) Fisabilillah
Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti untuk menegak, mempertahan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.
(viii) Ibnu Sabil
Mana-mana orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang dibenarkan oleh syarak dari mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan.