Peraturan Bagi Bakal Pengantin Membuat Ujian Pemeriksaan Kesihatan Sebelum Memohon Kebenaran Bernikah Di Negeri Melaka Dan Luar Melaka.
Mesyuarat Jawatankuasa fatwa Negeri Melaka telah membincangkan mengenai Cadangan mewujudkan suatu peraturan dan prosedur kepada bakal pengantin untuk membuat ujian saringan darah bagi menentukan tahap kesihatan dari dijangkiti HIV positif atau Aids sebelum memohon kebenaran bernikah di Negeri Melaka dan luar Melaka.
Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan seperti berikut :
i. Pada dasarnya bersetuju dengan cadangan peraturan bagi bakal pengantin agar membuat ujian pemeriksaan Kesihatan sebelum memohon kebenaran bernikah di Negeri Melaka memandangkan peraturan tersebut ada kebaikan untuk kemaslahatan umum.
ii. Bagaimanapun, Jawatankuasa Fatwa HANYA bersetuju agar pasangan yang berhasrat untuk berkahwin dinasihatkan dan diwajibkan untuk membuat ujian pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum mengikat tali pertunangan lagi berdasarkan pertimbangan berikut :
a) Keadaan pada masa ini belum lagi mencapai peringkat dharurat untuk mewajibkan peraturan tersebut dikuatkuasakan serta merta.
b) Memelihara kemaslahatan dan kehormatan diri dan keluarga pihak-pihak terlibat agar tidak mendatangkan 'aib'.