JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Kumpulan Al-Arqam Dan Aurad Muhammadiah

Kategori: Akidah
Tahun: 1994
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

A. Bahawa buku yang bertajuk -


(i) 'Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan' yang ditulis oleh Ustaz Hj. Ashaari Muhammad dan isi kandungannya; dan


(ii) 'Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi' yang ditulis oleh Mohamad Taha As-Suhaimi dan juga yang ditulis oleh pihak-pihak lain dalam semua bahasa dan isi kandungannya,


adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan Syariah Islamiah serta mengelirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam dan dengan yang demikian adalah diharamkan.


B. Bahawa Kumpulan Darul Arqam @ al Arqam yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman yang terkandung di dalam buku bertajuk Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam Sekaligus Menjawab Tuduhan dan Kitab Manaqib (Riwayat Hidup) Sheikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi adalah diharamkan.


C. Bahawa pengharaman ini meliputi:


(i) apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran tersebut di (A) di atas, dan termasuklah apa-apa pegangan ideologi, falsafah, atau apa-apa pegangan ideologi, falsafah, atau apa-apa kumpulan atau sistem amalan dan penunaian yang merangkumi bahawa tujuannya atau salah satu daripada tujuan-tujuannya ialah pencapaian pengajaran kebatinan, perlindungan kebatinan atau kewujudan kebatinan; iaitu suatu pegangan, ideologi, falsafah atau kumpulan atau sistem amalan atau penunaian yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah;


(ii) apa-apa jua bahan publisiti Kumpulan Darul Arqam @ al-Arqam termasuk mana-mana terbitan, ertinya apa-apa bahan, termasuklah suatu gambar, gambarfoto, poster, rajah, surat edaran, glansar filem, iklan di akhbar dan apa-apa bentuk iklan lain, yang bertujuan untuk memberi publisiti kepada terbitan tersebut yang berkaitan dengan ajaran-ajaran atau pegangan-pegangan di (A) di atas;


(iii) apa-apa terbitan, ertinya apa-apa buku, majalah, pamplet, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain, sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk keluaran ulangannya dan termasuklah apa-apa filem iaitu sebuah wayang gambar, sebuah pita rakam, atau sebuah rekod walau bagaimanapun ianya dibuat, dari suatu imej berdasarkan penglihatan, yang mana adalah sebuah rekod yang mampu digunakan sebagai suatu alat menayangkan rangkaian itu sebagai suatu gambar bergerak, rakaman audio iaitu apa-apa bahan termasuk piring-piring hitam, fotografi, pita-pita rakaman dan cakera laser dan cakera padat, yang mana dirakamkan rakaman suara manusia, untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran-ajaran atau pegangan-pegangan di (A) di atas.


Oleh itu, orang Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan Darul Arqam @ al-Arqam, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan aktiviti-aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan dan lain-lain aktiviti-aktiviti yang bertujuan untuk menghidup dan mengembangkan kumpulan ini. Orang-orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual, termasuk mengedarkannya filem, rakaman audio, pamplet, buku-buku, majalah, atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen; menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan Kumpulan Darul Arqam @ al-Arqam kepada mana-mana harta alih atau tak alih, dan semua pihak dilarang daripada memberi kemudahan dan membantunya.

Klik disini untuk mencetak