Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Tanpa Melalui Institusi Zakat Dan Qada
Mesyuarat sebulat suara bersetuju menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 bahawa:
a) Dari segi siyasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Uli al-Amr adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.
Walaupun dari segi syara', mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa kerana di dalam Islam, patuh dan taat kepada pemerintah atau Uli al-Amr dalam perkara kebaikan adalah wajib.
b) Mengenai hukum qada" zakat, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya.