JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Mengaplikasikan Manual Pengurusan Agihan Zakat Terbitan Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (JAWHAR) Dalam Pengurusan Zakat Di Negeri Melaka.

Kategori: Zakat
Tahun: 2009
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa:


1. Menetapkan program-program bantuan baru dan perbelanjaan-perbelanjaan yang diharuskan menggunakan peruntukan zakat adalah seperti berikut :


a) Bantuan melanjutkan pelajaran institusi pengajian tinggi kepada semua pelajar Islam yang lahir dan bermastautin di Negeri Melaka tanpa mengira latarbelakang keluarga (kaya/miskin) yang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi dengan kadar RM200.00 untuk peringkat Sijil, RM300.00 untuk peringkat Diploma dan RM400.00 untuk peringkat Ijazah menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah.


b) Bantuan Pinjaman Perniagaan kepada semua pemohon Islam yang tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk menguruskan perniagaan dengan kadar pinjaman antara RM1,000.00 hingga RM2,000.00 menggunakan peruntukan asnaf gharimin dengan kadar bayaran balik pinjaman Rm42.00 sebulan bagi pinjaman RM1,000.00 dan RM84.00 sebulan bagi pinjaman RM2,000.00;


c) Bantuan penyediaan tapak dan rawatan haemodialisis kepada semua anak kelahiran dan bermastautin di Negeri Melaka yang menghidap penyakit buah pinggang tanpa mengira latarbelakang ekonomi (kaya/miskin) dengan kadar bantuan bulanan kepada pesakit sebanyak RM200.00 dan RM500.00 untuk penyediaan tapak menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah atau gharimin;


d) Bayaran emolumen kepada kakitangan MAIM iaitu Bahagian Agihan Zakat (asnaf "amil), Bahagian Kewangan (asnaf "amil), Bahagian Balai Islam (asnaf mu"allaf0, Bahagian Pengurusan Masjid (asnaf fisabilillah) dan Rumah Anak Yatim (asnaf "fisabilillah);


e) Perbelanjaan kursus kepada kakitangan MAIM menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah;


f) Bayaran elaun pekerja sukarelawan kepada golongan miskin tegar yang telah ditawarkan pekerjaan oleh pihak MAIM untuk membersihkan masjid, surau dan sekolah-sekolah JAIM mengikut jam pada kadar maksimum RM364.00 sebulan menggunakan peruntukan asnaf fakir atau miskin;


g) Perbelanjaan-perbelanjaan pemasangan LED solat dan penyelenggaraan e-khutbah bagi masjid-masjid utama dan terpilih mengikut keutamaan; penerbitan Mimbar MAIM; pembersihan tandas masjid; sumbangan bulanan kepada Rumah Anak Yatim termasuk elaun tetap Pengurus Rumah Anak Yatim; sumbangan kepada badan-badan NGO, institusi, masjid atau individu bagi aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pemantapan aqidah, syariah dan akhlak; serta sumbangan untuk pembangunan masjid-masjid seperti pembersihan kawasan perkuburan, menceriakan masjid dan lain-lain menggunakan peruntukan asnaf fisabilillah; dan


h) Perbelanjaan pembinaan Kompleks Balai Islam khusus untuk pengurusan dan aktiviti di bawah pentadbirannya berjumlah RM3.4 juta menggunakan peruntukan asnaf mu"allaf.


2. Meluluskan perbelanjaan-perbelanjaan menggunakan peruntukan Baitulmal bagi program-program bantuan baru dan aktiviti-aktiviti yang lain seperti berikut:


a) Sumbangan khairat kematian sebanyak RM200.00 kepada setiap waris orang Islam yang berkelahiran atau bermastautin di Negeri Melaka tanpa mengira golongan kaya atau miskin;


b) Perbelanjaan-perbelanjaan umum untuk penyertaan perarakan Maulidur Rasul, Hari Keluarga, jamuan Hari Raya, lawatan kerja, pakaian korporat, panel doktor; dan


c) Perbelanjaan pengurusan dan penyelenggaraan Rumah Anak Yatim Acheh yang dibina oleh Kerajaan Negeri Melaka untuk penempatan anak-anak yatim mangsa Tsunami berjumlah RM7,000.00 sebulan merangkumi bayaran pengurusan, gaji pekerja, makanan, pakaian dan utiliti.


3. Menetapkan keseluruhan jumlah peruntukan zakat yang telah dibelanjakan untuk program bantuan sumbangan khairat kematian; perbelanjaan-perbelanjaan umum untuk penyertaan perarakan Maulidur Rasul, Hari Keluarga, jamuan Hari Raya, lawatan kerja, pakaian korporat, panel doktor; dan pengurusan serta penyelenggaraan Rumah Anak Yatim Acheh sebagai pinjaman pendahuluan (hutang) dan wajib dikembalikan kepada Kumpulan Wang Zakat supaya dapat dibelanjakan kepada asnaf-asnaf yang berhak.


4. Menerima pakai dan mengaplikasikan Manual Pengurusan Agihan Zakat terbitan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dalam pengurusan zakat di Negeri Melaka dengan meminda kadar Haddul Kifayah berdasarkan kadar yang sesuai bagi Negeri Melaka.


5. Mana-mana program atau aktiviti yang tidak tersenarai dalam jenis bantuan zakat mengikut asnaf seperti yang dinyatakan dalam Bab 4 (Bantuan) manual tersebut hendaklah dirujukkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka untuk diputuskan menurut pertimbangan hukum syara'.

Klik disini untuk mencetak