JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Acara Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. di Pulau Besar, Melaka Anjuran JKKK Pernu.

Kategori: Akidah
Tahun: 2009
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut:


a) Sambutan Maulidur Rasul s.a.wdi Pulau Besar, Melaka pada 14 dan 15 Mac 2009 anjuran JKKK Pernu dengan kerjasama The Malaysian Indian Muslim Congress (KIMMA) didapati mengandungi unsur-unsur bid"ah dan khurafat yang boleh membawa kepada kerosakan akidah dan syirik serta amalan-amalan yang bercanggah dengan syariah dan akhlak Islam seperti berikut :


i) Penjualan poster yang didakwa sebagai gambar para sahabat Nabi s.a.w iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a, Saidina "Umar al-Khattab r.a, Saidina "Uthman al-"Affan r.a dan Saidina "Ali bin Abi Talib k.w.;

ii) Meletak dan memasang colok di atas kubur;

iii) Membaca tahlil dan doa di tiang bendera semasa upacara menurunkan bendera lama untuk diganti dengan bendera yang baru;

iv) Meletakkan bendera yang telah diturunkan dalam dulang khas berisi bunga;

v) Upacara menyapu dan menyiram cairan cendana berwarna kuning pada batu nisan dan kubur Sultan "Ariffin;

vi) Membentang kain hijau dan menabur bunga secara berlebihan di atas kubur Sultan "Ariffin

vii) Perarakan membawa bendera, bunga telur, bunga-bungaan, buah-buahan di dalam dulang disertai oleh para pengunjung sambil berselawat menuju ke makam Sultan "Ariffin;

viii) Upacara menyerahkan dulang berisi bendera kepada penjaga makam dan seterusnya diletakkan di atas kubur Sultan "Ariffin;

ix) Mengadakan Majlis maulud di sisi bangunan makam Sultan "Ariffin;

x) Berlaku percampuran pengunjung lelaki dan perempuan bukan muhrim yang duduk bersama-sama di kawasan lapang sekitar makam semasa majlis maulud;

xi) Upacara menaikkan bendera baru selepas Subuh di mana para pengunjung bertakbir beramai-ramai ketika bendera dinaikkan dan seterusnya diikuti dengan bertahlil dan berdoa di tiang bendera tersebut.


b) Justeru itu, sebagai langkah menutup pintu kerosakan (sadd az-zari"ah) dan memelihara akidah umat Islam daripada terjerumus ke dalam amalan dan fahaman yang menyimpang, maka sebarang majlis atau acara sambutan yang dikaitkan dengan keagamaan khususnya Sambutan Maulidur Rasul s.a.w tidak dibenarkan dilakukan di Pulau Besar, Melaka pada masa hadapan.


c) Menggesa Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka agar dapat melakukan pemantauan dengan lebih kerap di Pulau Besar, Melaka bagi memastikan tiada kegiatan berunsur syirik dan khurafat dilakukan oleh umat Islam di sana serta mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan kesalahan berkenaan. Perhatian yang serius perlu diberikan terhadap kegiatan pengunjung bukan Islam berbangsa Cina dan India ke Pulau Besar yang didakwa mengadakan upacara pemujaan kubur-kubur tertentu yang akhirnya dikhuatiri mendorong mereka untuk membina kuil di mana perkara ini boleh mencetuskan sensitiviti keagamaan dan perkauman pada masa hadapan.


d) Mencadangkan supaya tidak dibenarkan membawa sebarang haiwan ternakan hidup ke Pulau Besar, Melaka bagi memastikan tidak berlaku upacara penyembelihan haiwan bagi tujuan yang menyalahi hukum syarak.


e) Mencadangkan supaya pihak yang bertanggungjawab terhadap kemajuan dan keselamatan pulau tersebut agar dapat memasang lampu di kawasan-kawasan yang gelap dan disyaki menjadi tempat kegiatan aktiviti-aktiviti tidak sihat.


f) Memanjangkan keputusan ini kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Besar untuk perhatian dan tindakan.

Klik disini untuk mencetak