JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hasil Kajian Pengurusan Zakat Majlis Agama Islam Melaka : Isu Upah Amil, Pelaburan dan Pendahuluan Bayaran Menggunakan Wang Zakat

Kategori: Zakat
Tahun: 2009
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut:


a) Menetapkan bahawa adalah harus bagi Pusat Zakat Melaka selaku amil yang dilantik menerima upah sebanyak 1/8 daripada jumlah pungutan zakat harta di negeri Melaka bagi sesuatu tahun kewangan;


b) Menetapkan bahawa pada dasarnya harta zakat tidak harus dilaburkan. Bagaimanapun, sekiranya agihan zakat telah dibuat dengan sempurna kepada semua asnaf yang berhak memilikinya, lalu didapati masih ada lebihan, maka adalah harus harta zakat tersebut dilaburkan atas maslahah "ammah tetapi hendaklah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan seperti berikut :


(i) Majlis Agama Islam Melaka dapat memberi jaminan bertulis bahawa harta asal zakat yang dilaburkan adalah tetap harta zakat dan begitu juga keuntungannya hendaklah dikembalikan kepada akaun zakat untuk dibelanjakan kepada asnaf yang berhak setelah ditolak kos pengurusan yang munasabah;


(ii) Ada jaminan bertulis bahawa Majlis Agama Islam Melaka bersedia untuk membayar balik kesemua jumlah harta zakat yang dilaburkan itu kepada akaun zakat yang dilaburkan itu kepada akaun zakat jika berlaku kerugian dalam pelaburan;


(iii) Ada jaminan bertulis bahawa harta zakat yang dijadikan modal pelaburan itu boleh dicairkan pada bila-bila masa apabila ada keperluan mendadak di mana harta zakat itu perlu diagihkan;


(iv) Pelaburan tersebut hendaklah dilakukan dengan teratur dan ianya mestilah berlandaskan syariat;


(v) Hendaklah dibuat kajian terperinci berkenaan dengan satu-satu pelaburan yang hendak diusahakan menggunakan harta zakat dan perlu dipastikan ianya terjamin selamat;


(vi) Hendaklah mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka bagi memastikan dasar-dasar syariat terpelihara ; dan


(vii) Pelaburan tersebut hendaklah dikendalikan oleh satu badan ataupun jawatankuasa khas yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang pelaburan dan bersifat amanah.


c) Menetapkan bahawa pada dasarnya wang zakat tidak boleh diberi sebagai bantuan pinjaman. Bagaimanapun, sekiranya wujud keperluan dan hajat, maka adalah harus bagi pemerintah memberi bantuan pinjaman daripada wang zakat di bawah peruntukan asnaf al-gharimin secara qardhul hasan kepada mereka yang layak. Ini berdasarkan pandangan Dr. Yusof Qardhawi dalam Kitab Fiqh az-Zakah yang berpendapat jika hutang yang sudah berlaku boleh dibayarkan dari wang zakat di bawah asnaf al-gharimin, maka qardhul hasan yang bersih dari riba adalah lebih utama daripada pemberian zakat.


d) Menetapkan bahawa penggunaan lebihan wang zakat yang telah dipindahkan daripada Akaun Zakat kepada Akaun Baitulmal sebagai pendahuluan bayaran untuk perbelanjaan pengurusan dan pembangunan Majlis Agama Islam Melaka serta apa-apa pembelian yang telah dibuat menggunakan wang tersebut adalah merupakan hutang yang wajib dibayar semula (berserta keuntungannya jika ada) kepada Kumpulan Wang Zakat di bawah asnaf al-gharimin dan hendaklah dibelanjakan kepada asnaf yang berhak sahaja. Perkara ini tidak harus berulang pada masa hadapan.

Klik disini untuk mencetak