JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pembangunan Tanah Wakaf Di Bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9).

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2007
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa telah sebulat suara bersetuju menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 bahawa:


a) Status Bangunan Yang Telah Siap Dibina Di Atas Tanah Wakaf:


i. Bangunan yang telah siap dibina di atas tanah wakaf tidak menjadi wakaf secara automatik. Sekiranya pihak JWZH ingin mewakafkannya, ia tidak menjadi halangan.


ii. Bangunan tersebut perlu didaftarkan sebagai harta wakaf yang baru dan perlu memenuhi rukun-rukun wakaf dan enakmen negeri-negeri.


b) Pembangunan Menggunakan Dana Program Pembangunan Harta Wakaf RMK-9 Di Atas Tanah Baitulmal Milik MAIN:


i. Tanah Baitulmal milik MAIN dan bangunan yang dibina di atas tanah tersebut yang menggunakan dana Program Pembangunan Harta Wakaf RMK-9 boleh didaftarkan sebagai harta wakaf.


ii. Untuk memenuhi dan mematuhi peraturan syariah, JWZH hendaklah merujuk kepada syarat-syarat wakaf yang sedia ada.


c) Pemajakan Tanah Wakaf Kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan:


Tanah wakaf boleh dipajak tetapi tidak boleh dijual.


d) Penjualan Pajakan Unit Kedai/Kediaman/Ruang Pejabat Yang Telah Dibangunkan Di Atas Tanah Wakaf:


i. Unit-unit kediaman atau kedai yang dibina di atas tanah wakaf boleh dipajak kepada individu bagi tempoh jangka panjang.


ii. Syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi supaya menepati keperluan syara' adalah berdasarkan Akad Pajakan (sewaan).


e) Status Kerajaan Persekutuan Dalam Pembangunan Tanah Wakaf:


i. Kerajaan Persekutuan boleh dianggap sebagai pewakaf dengan syarat peruntukan yang disediakan untuk membangunkan tanah wakaf diniat untuk wakaf.


iii. Sebagai pewakaf, kerajaan berhak menentukan syarat-syarat harta yang diwakafkan. Sungguhpun begitu, pelantikan nazir tidak dibenarkan kerana bercanggah dengan enakmen sedia ada.


f) JWZH Sebagai Pemegang Amanah Dana Program Pembangunan Harta Wakaf RMK-9:


JWZH boleh menjadi pemegang amanah dana Program Pembangunan Harta Wakaf RMK-9 melalui Entiti Wakaf Kebangsaan yang akan ditubuhkan menerusi usahasama ekonomi dengan MAIN dengan syarat mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak di antara MAIN dan JWZH.


g) Pemegang Amanah Tunggal Wakaf:


Isu MAIN sebagai pemegang amanah tunggal wakaf bukan merupakan isu syariah, sebaliknya isu dasar yang melibatkan pentadbiran.


h) Wakaf Wang Tunai:


Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam.


i) Pengecualian Atau Remitan Cukai Tanah Terhadap Harta Wakaf:


Harta wakaf wajar mendapat pengecualian daripada cukai.


Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju agar keputusan fatwa tersebut diwartakan di peringkat negeri.

Klik disini untuk mencetak