Fatwa Mengenai Zakat Harta-Harta Pendapatan
Mesyuarat Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 12 Sep 1999 telah membincangkan mengenai fatwa zakat harta-harta pendapatan. Mesyuarat telah membuat keputusan fatwa seperti berikut:
Harta-harta pendapatan yang diperolehi dari usaha samada dalam bentuk gaji, elaun, ganjaran, pampasan atau pendapatan pemindahan atau pendapatan yang diperolehi melalui kerjaya yang bercorak profesional, kepakaran atau kemahiran diri adalah diwajibkan zakat apabila cukup nisobnya menurut nisob Zakat Logam (emas,perak) atau matawang, tanpa syarat haul. Kadar zakatnya ialah 1/40 setelah ditolak perbelanjaan dharuriat yang paling sederhana.
Demikian juga diwajibkan zakat pendapatan dari harta tak alih seperti bangunan premis, rumah, kenderaan dan lain-lain yang diperolehi menerusi sewaan, pajakan dan lain-lain yang tidak termasuk dalam urusan jual beli atau urusan perniagaan. Zakat dikenakan keatas pendapatan bulanan setelah ditolak perbelanjaan pengurusan.