ENAKMEN PENTADBIRAN
UNDANG-UNDANG ISLAM 1991
(Enakmen 3/91)
FATWA DI BAWAH SEKSYEN 36
Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu:
'Penubuhan pasukan pancaragam kawad sekolah adalah tertakluk kepada hukum-hukum berikut:
- nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tiada biadab dan tidak bercampur gaul antara lelaki dan perempuan serta tidak membawa kepada fitnah, hukumnya adalah harus;
- nyanyian yang senikatanya tidak baik, lucah, biadab, mendorong kepada maksiat dan bercampur gaul antara lelaki dan perempuan serta membawa kepada fitnah, maka nyanyian itu adalah haram;
- pancaragam yang melalaikan adalah haram;
- mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadab, tidak bercampur gaul antara lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah dan tidak melalaikan ibadat fardhu dan kewajipan harian;
- menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad hukumnya adalah harus;
- pakaian hendaklah menutup aurat dan bersopan.'