JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Fatwa Mengenai Kumpulan Anti Hadis

Kategori: Akidah
Tahun: 1996
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Pahang
Keputusan
:

A. Bahawa:


(a) Buku-buku yang bertajuk:


(i) 'Hadis Satu Penilaian Semula' dan 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik' yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;


(ii) 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu dan Hadis Di Dalam Al-Quran' yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;


(iii) 'Bacaan' yang ditulis oleh Othman Ali;


(iv) 'The Computer Speaks God"s Message To The World' yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa; dan


(b) Risalah 'Iqra' terbitan Jemaah Al-Quran Malaysia;


Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan Akidah, Syariah dan Akhlak Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah tersebut antara lain, menolak hadis sahih (iaitu hadis yang disahkan bersumber daripada Rasulullah s.a.w.) sebagai sumber Akidah dan Perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah s.a.w. dan menghina Al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat Al-Quran.


B. Bahawa orang atau orang-orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah yang disebut dalam subperenggan (A)(a) dan (b) adalah sesat dan bertentangan dengan Akidah, Syariah dan Akhlak Islam.


C. Oleh yang demikian:


(1) mana-mana orang atau orang-orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu - Hadis Di Dalam Al-Quran', 'Bacaan', 'The Computer Speaks God"s Message To The World' dan risalah 'Iqra' ADALAH MURTAD.


(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang:


(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku dan risalah tersebut;


(b) mencetak, menerbit, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku-buku buku 'Hadis Satu Penilaian Semula', 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik', 'Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu - Hadis Di Dalam Al-Quran', 'Bacaan', 'The Computer Speaks God"s Message To The World' dan risalah 'Iqra' atau mana-mana bahagianya, termasuk:


(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;


(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;


(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku dan risalah itu;


pada apa-apa bahan, samada bahan cetak atau media elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media;


(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana kumpulan yang tersebut dalam subperenggan C (1) atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.


(d) menjalankan sebarang kegiatan yang berkaitan dengan pengajaran, penyebaran, membantu ke arah penyebaran ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman ini.'

Klik disini untuk mencetak