Kitab Yang Bertajuk ' Kasyf Al-Asrar'
Fatwa berikut yang dibuat oleh Mufti Negeri Pahang di bawah subsekyen 36(1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39(6) Enakmen itu adalah disiarkan menurut subseksyen 36(2) Enakmen itu:
A. Bahawa kitab yang bertajuk 'Kasyf Al-Asrar' terjemahan Muhammad Saleh bin Abdullah Mengkabui, cetakan Al-Ahmadiyah Press, Singapura adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam.
B. Bahawa orang atau orang-oang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam kitab 'Kasyf Al-Asar' adalah sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam.
C. Oleh yang demikian:-
(1) mana-mana orang atau orang-orang atau kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam kitab 'Kasyf Al-Asrar' adalah menyeleweng;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang;
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam kitab 'Kasyf Al-Asrar';
(b) mencetak, menerbit, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan kitab 'Kasyf Al-Asrar' atau mana-mana bahagiannya, termasuk:
(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa jua bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada kitab 'Kasyf Al-Asrar',
pada apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau media elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa jua media;
(c) mengembangkan ajaran-ajaran kitab 'Kasyf Al-Asrar';
(d) menjalankan sebarang kegiatan yang berkaitan dengan pengajaran, penyebaran atau membantu ke arah penyebaran ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam kitab 'Kasyf Al-Asrar'.