JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Upacara Akad Nikah Di Masjid

Kategori: Munakahat
Tahun: 2012
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sarawak
Keputusan
:

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali Ke-20 telah bersidang pada 1 Rabiulakhir 1433H/ 23 Februari 2012M sebulat suara menerima sighah penjelasan hukum seperti berikut:-

 

1. Jumhur ulama’ sepakat bahawa upacara akad nikah adalah dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid.

 

2. Para ulama’ mazhab dan sebahagian ulama’ semasa telah memberikan garis panduan bahawa akad nikah tersebut mestilah tidak boleh bercampur dengan aktiviti yang bercanggah dengan agama. Keharusan hukum asal tersebut boleh bertukar menjadi haram jika bercampur di dalam majlis akad nikah tersebut dengan perkara-perkara haram.

 

3. Dalil khusus yang telah melarang upacara akad nikah dilangsungkan di masjid kerana mempunyai elemen tasyabbuh dengan agama bukan Islam adalah tidak disentuh oleh para ulama’ mazhab dan ulama’ semasa.

 

Adab-adab ketika di masjid:

  1. Berpakaian menutup aurat dengan sempurna.
  2. Disunatkan iktikaf di masjid.
  3. Menghormati jemaah lain yang sedang beribadah di masjid.
  4. Disunatkan dengan solat Tahiyatul Masjid.
  5. Tidak bercampur dan bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.
  6. Pengantin perempuan yang haid boleh juga hadir ke masjid pada hari akad nikah tetapi dinasihati agar tidak masuk ke dalam dewan solat masjid.
  7. Barang-barang hantaran diserahkan selepas akad nikah di rumah pengantin perempuan.
  8. Hanya mas kahwin sahaja yang dibawa ke masjid. Majlis penyerahan mas kahwin suami kepada isteri boleh dilakukan di masjid, tetapi upacara menyarungkan cincin hendaklah dilakukan di rumah pengantin perempuan.

Dilarang bergambar bergaya secara melampau di dalam masjid.

 

Klik disini untuk mencetak