Fatwa Mengenai Penyelewengan Ajaran Arifin bin Muhamad (Ayah Pin)
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 18 Ogos 2005 buat kali 167 setelah berbincang dan membahaskan dengan penuh teliti telah mengambil keputusan "Bahawa semua dakwaan di atas mengandungi ajaran, pegangan dan fahaman yang bertentangan dengan akidah dan syariah Islamiah serta boleh mengelirukan dan menyesatkan masyarakat Islam dan dengan ini adalah diharamkan.
Kumpulan Ayah Pin yang berpegang kepada ajaran, pegangan dan fahaman yang didakwa oleh Arifin Muhamad adalah diharamkan.
Oleh itu, orang Islam dilarang mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan Ayah Pin, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberikan ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan aktiviti-aktiviti ekonomi, sosial dan aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan untuk menghidupkan dan mengembangkan kumpulan ini. Orang Islam juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan, risalah dan apa-apa dokumen yang menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda yang boleh dikaitkan dengan Kumpulan Ayah Pin, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda pada mana-mana harta alih atau tak alih yang boleh dikaitkan dengan Kumpulan Ayah Pin.
Sebarang bentuk sokongan dan bantuan kepada Ayah Pin dan / atau pengikut-pengikutnya dilarang dan hendaklah dihentikan serta-merta.
Orang Islam yang mengamalkan ajaran Arifin bin Mohamad (Ayah Pin) adalah murtad.
http://mufti.perak.gov.my/images/perkhidmatan/koleksi_umum/warta_kerajaan/ayahpin.pdf