Fatwa Menangani Masalah Perpecahan Orang Melayu/Islam
Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada 5 Zulkaedah 1421 bersamaan 30 Januari 2001 kali ke 151 atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa berikut:
(1) Tiada halangan untuk menggunakan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan malah digalakkan dengan disiplin ilmu, iman dan ihsan mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan perkataan Islam untuk tujuan mengelirukan dan menyeleweng adalah salah dan boleh diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
(2) Seseorang itu sudah diiktiraf sebagai orang Islam jika menepati Rukun Iman dan Rukun Islam. Dari itu adalah salah dan tidak berhak bagi mana-mana pihak menambah apa-apa syarat bagi menentukan keislaman seseorang itu. Fahaman sedemikian adalah salah di sisi Islam. Oleh itu sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah atau menyeleweng.
(3) Ketentuan syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah S.W.T. Dari itu dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seseorang Islam dilayakkan ke syurga atau ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam. Oleh itu sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah dan menyeleweng.
http://mufti.perak.gov.my/images/perkhidmatan/koleksi_umum/warta_kerajaan/melayu.pdf