JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Pelaburan Yang Dijalankan Oleh Syarikat Mecca Fund Global

Kategori: Muamalat/Ekonomi
Tahun: 2016
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Negeri Sembilan
Keputusan
:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 04/2016-1437H yang bersidang pada 28 April 2016 bersamaan 20 Rejab 1437H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 berkenaan Hukum Pelaburan Yang Dijalankan Oleh Syarikat Mecca Fund Global dengan sighah seperti berikut: 

 

1. Setelah meneliti fakta-fakta, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan Muzakarah menegaskan bahawa terdapat beberapa syarat bagi kontrak mudharabah yang sah mengikut syarak, iaitu antaranya:

 

i. Kebebasan menjalankan urusan tanpa tertakluk kepada syarat tertentu. Pelaburan mestilah bersifat terbuka dan sesuatu pelaburan dianggap tidak sah jika pelabur menetapkan pengusaha perlu membeli barang tertentu contohnya sejadah, atau barangan jenis tertentu daripada orang tertentu. 


ii. Keuntungan hanya dikongsi antara pelabur dengan pengusaha. Keuntungan yang dihasilkan mesti dikongsi bersama oleh pelabur dan pengusaha. Pelabur akan mengambil hasil pelaburan modalnya, sementara pengusaha akan memperoleh hasil usahanya.


iii. Pengusaha mestilah bebas menguruskan modal dan bekerja. Kontrak pelaburan dianggap tidak sah jika wujud syarat yang menetapkan pelabur perlu bekerja bersama pengusaha.

 

2.  Muzakarah mendapati bahawa pelaburan yang dijalankan oleh Syarikat Mecca Fund Global ini bertentangan dengan prinsip sebenar mudharabah dalam Islam, iaitu antaranya pelabur perlu membeli lot yang ditawarkan oleh pemilik syarikat, akan berlaku kehilangan modal dan berlaku ketidakpastian terhadap kadar keuntungan dan modal.


3.  Sehubungan itu, berdasarkan perkara-perkara tersebut, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pelaburan yang dijalankan oleh Mecca Fund Global adalah tidak mengikut prinsip mudharabah yang sebenar dan tidak sah mengikut hukum syarak. Pelaburan yang dijalankan juga didapati melanggar undang-undang negara kerana mengambil deposit daripada pelabur tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia(BNM).


4.  Muzakarah juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terlibat dalam skim pelaburan oleh Mecca Fund Global ini.

 

Status Pewartaan: Tidak Diwartakan

Klik disini untuk mencetak