Keadaan Yang Membolehkan Mengumpat (Ghibah)
Jawatankuasa Syariah tela memutuskan bahawa keadaan yang membolehkan mengumpat (ghibah) adalah adalah seperti berikut :
Pertama: Orang yang dizalimi
Orang yang dizalimi boleh membuat pengaduan kepada pihak berkuasa untuk mendapat pembelaan dari terus dizalimi. Menurut sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Bukhari dan Tarmizi dari Abu Hurairah r.a bermaksud:
'Sesungguhnya yang punya hak itu mempunyai perkataan (berhak berbicara).'
Kedua: Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran
Menyampaikan sesuatu (perkhabaran) kepada orang yang mampu mengubah kemungkaran. Allah swt berfirman:
'Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang) kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan ingatlah Allah sentiasa Mendengar Lagi Maha Mengetahui.'
Ketiga: Meminta Fatwa
Meminta fatwa seperti dikatakannya kepada Mufti: 'Aku telah dianiaya oleh si fulan. Apakah caranya untuk aku mendapatkan hak aku?' Diriwayatkan dalam hadis muttafaqun alaih dari Aisyah r.a bahawa Hindun berkata kepada Nabi saw: 'Abu Sufyan seorang lelaki yang kedekut. Ia tidak memberikan kepadaku, apa yang mencukupi bagiku dan anakku. Bolehkah aku mengambil (wang) tanpa pengetahuannya?' Maka Nabi saw menjawab: 'Ya, ambillah'.
Keempat: Memberi peringatan kepada orang lain terhadap orang fasik.
Menyebut keburukan orang fasik untuk dihindari oleh orang lain tidak dikira ghibah (mengumpat) sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh:
At Tabrani, Ibnu Hibbah dalam Kitab Dhu"afa" dan Ibnu Ady dari Bahz bin Hakim bermaksud:
'Berilah peringatan (kepada manusia) tentang kejahatan orang fasik agar mereka dapat menjauhinya.
Kelima: Memberi peringatan dari kejahatan seseorang.
Keenam: Menyebut seseorang dengan gelaran yang masyhur bagi dirinya sekiranya tidak dapat diketahui seseorang melainkan disebut gelaran itu.
Ketujuh: Menegakkan hak di mahkamah.