JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Hukum Mengaku Bukan Islam

Kategori: Akidah
Tahun: 1970
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Perlis
Keputusan
:

Takrif Murtad


Berpaling dari agama Islam kepada agama kufur samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad. Berkata Imam al-Ghazali 'Adapun hakikat riddah ialah pengucapan dengan perkataan kufur secara persendaan atau iktiqad atau engkar, manakala daripada perbuatan ialah menyembah berhala, sujud kepada matahari, demikian juga mencampakkan al-Quran ke tempat kotor dan setiap perbuatan yang jelas menghina agama dan demikian juga ahli sihir dihukum bunuh sekiranya apa yang digunakan untuk sihir itu adalah kufur seperti menyembah matahari atau seumpamanya'.


Perkara-perkara Yang Boleh Menyebabkan Murtad :


a. Perkataan


Sebarang perkataan yang jelas boleh membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) orang yang mengucapkannya.

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 65 dan 66 :

Yang bermaksud : 'Patutkah nama Allah dan ayatNya serta Rasul Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alas an-alasan yang dusta), (kerana) sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman..'.


Di antara contoh-contoh perkataan yang membawa kepada kufur adalah seperti berikut :


  1. Engkar sesuatu yang diketahui daripada agama (islam) secara darurat seperti mengengkari keesaan Allah, kewujudan Malaikat, Kenabian Nabi Muhammad S.A.W dan seumpamanya.
  2. Menghalalkan apa yang diharamkan secara ijma".
  3. Mengharamkan apa yang dihalalkan secara ijma".
  4. Mencela Nabi Muhammad S.A.W atau Nabi-nabi lain atau mengejek mereka.
  5. Mencela agama Islam, menghina al-Quran dan as-Sunnah dan tidak beramal dengan keduanya.
  6. Mendakwa wahyu turun kepadanya.
  7. Merendah-rendahkan nama Allah dan perintah Nya.


b. Perbuatan


Di antara perbuatan yang boleh membawa kepada riddah ialah :

  1. Mencampakkan Mashaf al-Quran atau Kitab Hadis Rasulullah S.A.W ke tempat-tempat kotor dengan tujuan menghina.
  2. Sujud kepada makhluk seperti berhala, matahari, bulan dan sebagainya.
  3. Tidak mengamalkan hokum-hukum al-Quran dan as-Sunnah kerana menggangapnya tidak sesuai dengan zaman sekarang.


c. Niat


Contohnya ialah seperti berazam untuk kafir pada hari esok atau teragak-agak untuk melakukannya. Niat seperti itu menyebabkan orang itu kufur ketika itu juga.


Syarat-syarat Sah Seseorang Dikira Murtad


Para Ulama" bersepakat meletakkan dua syarat bagi mengesahkan seseorang Islam dikira murtad.

  1. Berakal tidak sah murtad orang gila dan kanak-kanak.
  2. Pilihan sendiri atau sukarela. Tidak sah murtad orang yang dipaksa sedangkan hatinya masih beriman.


d. Masalah


Perkara yang berlaku sekarang itu mungkin disebabkan kejahilan atau perasaan takut dan marah bukan dengan niat si pelakunya untuk murtad, kerana kebiasaannya mereka itu tetap melakukan amalan-amalan Islam walaupun selepas mengucapkan perkataan tersebut. Perkara ini boleh dicontohkan seperti berikut :

  1. Seseorang (remaja contohnya) apabila selalu dinasihati dan dimarahi tentu akan merasa tertekan dan marah, oleh itu kemarahannya dilahirkan dengan kata-kata sedemikian rupa bagi mengembirakan perasaannya walaupun hatinya tetap dengan Islam dan perbuatan tersebut dilakukan samada kerana jahil atau kerana tekanan perasaan yang amat sangat.
  2. Seseorang yang ditangkap di atas kesalahan jenayah dalam syara' mungkin juga berada didalam ketakutan atau malu. Oleh itu dia cuba mengelak daripada ditangkap dengan mengaku bukan Islam samada kerana jahil tentang hukum pengakuan tersebut atau tahu tentang hukumnya tetapi dilakukan juga sebagai helah supaya tidak ditangkap, kemudia dia pun mengucap kembali dua kalimah syahadah.


e. Pertimbangan



Walau apa pun alas an sebab seseorang itu melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad, namun zahir hokum syara' adalah jelas bahawa perkataan dan perbuatan sedemikian boleh membawa kepada riddah yang sangat merbahaya. Akan tetapi untuk menghukum seseorang itu telah murtad kita perlu berhati-hati.


Berkata Syed Sabiq 'Seseorang Islam tidak dikira hukum riddah kecuali apabila telah lapang dadanya dengan kufur dan tenang hati dengannya dan masuk ke dalamnya (kufur) dengan sebenarnya'.


Berdasarkan Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 106 :

Yang bermaksud : 'Akan tetapi (yang dikira kafir) seseorang yang lapang dadanya dengan kufur'.


Sabda Rasulullah S.A.W :

Yang bermaksud : 'Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan bagi setiap seseorang apa yang diniatkannya'.


Dan kerana hati adalah suatu yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah, maka tidak dapat tidak mestilah timbul apa yang jelas menunjukkan kekafirannya dengan Dalil Qat"ie yang tidak boleh ditakwilkan lagi sehingga dinasabkan kepada Imam Malik dimana beliau berkata : yang bermaksud 'Apabila timbul darinya (seseorang) apa yang memungkinkan kufur daripada 99 wajah (cara) dan terdapat apa yang memungkinkan iman dari satu wajah (cara), maka dikira urusannya di atas iman'.

Klik disini untuk mencetak