Fatwa Mengenai Golongan Anti-Hadith
Mesyuarat Jawatankuasa Syariah Negeri Pulau Pinang pada 29 November 1995 telah membincangkan mengenai Golongan Anti-Hadith dan memutuskan seperti berikut:
1. Bahawa buku yang bertajuk :
(a) “Hadis Satu Penilaian Semula” dan Hadis Jawapan Kepada Pengkritik” yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu Hadith Di Dalam Al-Quran” yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) “Bacaan” yang ditulis oleh Othman Ali dan
(d) “The Computer Speaks-Gods Message To The World” yang ditulis yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak Islam boleh mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut antara lain, menolak hadis sahih (iaitu hadis yang disahkan bersumber dengan Rasulullah s.a.w) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah s.a.w. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat Al-Quran tersebut.
2. Bahawa orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiyah.
3. Dengan itu mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “Hadis Satu Penilaian Semula”, “Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu-Hadith Di Dalam Al-Quran”, “Bacaan” atau “The Computer Speaks: God’s Message To The World” adalah murtad.
4. Oleh itu mana-mana orang Islam adalah dilarang :
(a) Untuk mengajar, mempelajari, mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam “Hadis Satu Penilaian Semula”, “Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu-Hadith Di Dalam Al-Quran”, “Bacaan” atau “The Computer Speaks: God’s Message To The World” atau mana-mana bahagiannya, termasuk:
(i) Apa-apa bentuk, versi atau variasinya;
(ii) Apa-apa terjemahan dalam apa-apa bahasa;
(iii) Apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu;
Pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau
(b) Untuk menjadi anggota atau memimpin mana-mana golongan anti hadis atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian
Tarikh Warta: 1 Februari 1996
No. Warta: 15