JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Usaha-usaha Menghidupkan Semula Al-Arqam Melalui Syarikat Rufaqa Sdn. Bhd. ( SRC ) dan Rangkaian Syarikatnya (Sabah)

Kategori: Akidah
Tahun: 2007
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Sabah
Keputusan
:

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah, bil 3/2006 telah bersidang pada 13 Disember 2006 Miladiah / 22 Zulkaedah 1427 Hijriah, bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara 'USAHA-USAHA MENGHIDUPKAN SEMULA AL-ARQAM MELALUI SYARIKAT RUFAQA" CORPORATION SDN. BHD. (SRC) DAN RANGKAIAN SYARIKAT GABUNGANNYA dan telah memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa :


Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa dan dipegang oleh ahli jamaah Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.


Oleh yang demikian itu, Majlis Fatwa Negeri Sabah mengambil keputusan bahawa ;


i) mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jamaah atau pengikut Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam ;


ii) mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jamaah atau pengikut Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, perubatan, pembinaan, pertanian, perladangan, telekomunikasi atau apa-apa aktiviti lain yang berhubungkait dengan SRC dan apa-apa ajaran yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan al-Arqam, adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam;


iii) mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali ajaran dan fahaman Kumpulan al-Arqam sama ada melalui Syarikat Rufaqa" Corporation Sdn. Bhd. (SRC), rangkaian syarikat gabungannya atau mana-mana pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan al-Arqam adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam;


iv) mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang disebut di dalam subperenggan 3(i), (ii) dan (iii) adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah;


v) apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman Kumpulan al-Arqam dan ajaran, pegangan atau fahaman ahli jamaah SRC atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan al-Arqam dan ahli jamaah SRC adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam; atau


vi) apa-apa jua bahan publisiti yang menonjolkan atau menghidupkan ajaran Kumpulan al-Arqam dan ajaran, pegangan atau fahaman ahli jamaah SRC atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan al-Arqam dan ahli jamaah SRC dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah diharamkan.


Tarikh Warta: 13 September 2007

Klik disini untuk mencetak