JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Penulisan Sastera Islam

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2001
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sabah
Keputusan
:

Dengan ini dimaklumkan bahawa Fatwa telah dibuat dan diluluskan oleh Mufti Kerajaan Negeri di bawah seksyen 8, Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004 ( No. 7, Tahun 2004 ) adalah dengan ini disiarkan seperti berikut ;


Bahawa Jawatankuasa telah membuat keputusan agar penulisan sastera Islam di Sabah hendaklah mengikut garis panduan yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Lajnah Fatwa Negeri Sabah ( Majlis Fatwa Negeri Sabah ) yang bersidang pada 26-26 Mei 2001 M seperti berikut ;


1. Takrif sastera Islam

Karya-karya yang bersumberkan al-Quran, Hadith, Sirah Nabawi dan sumber-sumber yang muktabar. Genre penulisan dan sastera Islam termasuklah puisi, cerpen, novel, esei, kritikan dan sebagainya yang dihasilkan oleh seorang Islam . Karya-karya ini mengandungi unsur-unsur yang boleh mendekatkan insan kepada Allah s.w.t. dengan keimanan, ketaqwaan dan mengajak melaksanakan amal soleh dengan ungkapan yang indah dan estetika yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah.


2. Tatacara Penulisan Sastera Islam


a) Penulis hendaklah seorang muslim. Penulis yang bukan Islam dilarang menulis sesuatu mengenai ajaran Islam untuk mengelakkan kekeliruan masyarakat kerana kejahilan penulis berkenaan membicarakan sesuatu mengenai ajaran Islam yang sebenarnya.


b) Setiap karya hendaklah dihasilkan berdasarkan landasan al-Quran dan al-Sunnah.


c) Setiap karya hendaklah berteraskan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dari sudut aqidah, dan berlandaskan mazhab Syafi"e dari sudut fikah. Penulis boleh menyentuh mengenai mazhab fikah yang lain seperti membicarakan pandangan Imam-imam Hanafi, Maliki dan Hanbali tetapi tidak bertujuan untuk sengaja menonjolkan perbezaan mazhab yang boleh menimbulkan kekeliruan dan perpecahan di kalangan masyarakat awam.


d) Setiap karya hendaklah tidak bertentangan dengan aqidah islamiah seperti mengagung-agungkan atau memuliakan perkara yang berunsurkan syirik, khurafat dan bid"ah. Sebaliknya karya-karya Islam perlu menjurus kepada usaha membanteras kesyirikan, khurafat dan bid"ah.


e) Unsur-unsur yang menjisimkan Tuhan atau menyamakan Allah s.w.t dengan sifat-sifat makhluknya adalah diharamkan kerana ia boleh menjatuhkan penulisnya kepada kesyirikan.


f) Setiap karya yang menbicarakan perkara-perkara Ghaibiyat seperti barzakh, kiamat, malaikat dan lain-lain hendaklah membicarakannya berdasarkan al-Quran dan berpandukan hadith yang sahih. Diharamkan menokok tambah sesuatu yang telah termaktub dalam Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW.


g) Diharamkan membuat 'penyifatan' mengenai malaikat dan para Rasul dengan sifat-sifat yang tidak layak bagi mereka seperti menyifatkan malaikat dengan sifat-sifat manusia yang lemah seperti bingung, cemas, iri hati dan lain-lain. Demikian juga dilarang membuat penyifatan terhadap para nabi dan rasul dengan sifat-sifat yang boleh menjatuhkan martabat para kekasih Allah ini seperti dendam, bengis, mungkir janji, dusta dan lain-lain.


h) Setiap karya hendaklah tidak dihasilkan bersumberkan rujukan kisah Israiliyyat. Sebarang tokok tambah mengenai kisah dalam al-Quran yang tidak dijelaskan oleh Hadis adalah dilarang.


i) Setiap karya hendaklah tidak menghina para isteri, kerabat dan sahabat Rasululah s.a.w yang mulia.


j) Setiap karya hendaklah tidak berunsur penghinaan atau cuba merendah-rendahkan martabat para ulama.


k) Setiap karya hendaklah tidak menolak rukun iman dan rukun Islam.


l) Setiap karya hendaklah tidak mempunyai unsur mempersenda-sendakan hukum hakam yang termaktub dalam al-Quran dan tidak juga berunsur penghinaan terhadap amalan sunnah.


m) Unsur-unsur karya yang menolak ijmak dan qias adalah diharamkan.


n) Setiap karya hendaklah tidak bersifat memuliakan atau mengiktiraf perbuatan mungkar dan maksiat seperti mengalakkan zina, judi, meminum arak, menghalalkan riba, pergaulan bebas, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. "


o) Setiap karya hendaklah tidak berunsur lucah dan memaki hamun


p) Setiap karya hendaklah tidak berunsur dakyah dan pembelaan terhadap ajaran agama-agama lain dan ajaran-ajaran sesat serta menyeleweng.


q) Karya-karya yang berunsurkan wahdatu al-wujud dan unsur-unsur sufi yang mendalam yang hanya difahami oleh ulama yang menguasai displin ilmu berkenaan, tidak dibenarkan dibicarakan di peringkat orang awam kerana perkara ini boleh mengelirukan.


r) Karya-karya yang menurunkan ayat-ayat al-Quran seperti esei hendaklah 8tidak menurunkan ayat tersebut dalam bentuk tulisan rumi.

Klik disini untuk mencetak