Ladang Ternakan Khinzir Di Kawasan Orang Islam
Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil. 1/2005 telah bersidang pada 12 – 14 September 2005M / 08 – 10 Sya’ban 1426H, bertempat di Pacific Sutera, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Ladang Ternakan Khinzir Di Kawasan Orang Islam” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
1. Di sisi Syarak Khinzir / Babi merupakan najis "Ain dan termasuk di dalam najis yang berat ( mughalazah)
2. Seluruh angota Khinzir / babi adalah najis seperti kulit, bulu, tulang, daging dan apa-apa bahagian daripadanya.
3. Air sungai adalah bersih dan suci digunakan sekiranya menepati ciri-ciri berikut :
a) Sungai itu tidak berubah dari sifatnya samada bau, rasa dan warnanya
b) Air sungai itu adalah mengalir samada dengan perlahan atau deras
c) Air sungai itu lebih banyak kuatitinya daripada sisa najis yang dialirkan ke Sungai. Jika sekiranya diukur bolehlah dinisbahkan air sungai 70 % berbanding 30 % air sisa najis yang telah diproses.
4. Pusat ternakan dan sembelihan khinzir adalah ditegah dan dilarang didirikan berdekatan dengan kawasan atau penempatan orang khususnya orang Islam kerana menganggu ketenteraman dan keselesaan khususnya ketika umat Islam menunaikan Ibadah.
5. Pusat penternakan dan sembelihan Khinzir / babi wajiblah dijauhkan dari penempatan orang khususnya penempatan orang Islam agar dapat memelihara kehormanian dan perpaduan dalam masyarakat yang berbilang fahaman agama dan bangsa.