JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Isu Penamaan Saudara Baru

Kategori: Sosial/Syariah
Tahun: 2007
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Sabah
Keputusan
:

Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah, Bil. 1/2007 telah bersidang pada 28 – 29 Mei 2007M / 11 – 12 Jamadilawal 1428H, bertempat di Bilik Mesyuarat Pejabat Mufti Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara “Isu Penamaan Saudara Baru” dan telah bersetuju memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:


Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah bersetuju memutuskan dan mewartakan bahawa garis panduan penamaan saudara baru seperti berikut:


(i) Garis Panduan ini adalah bertujuan dijadikan rujukan kepada individu, institusi atau agensi-agensi yang berkaitan dengan penamaan atau pendaftaraan nama seseorang yang memeluk agama Islam. Garis Panduan ini mengandungi takrif, penamaan, implikasi dan pembatalan nama Islam.


(ii) Saudara baru atau muallaf ialah seorang yang baru memeluk agama Islam. Istilah Saudara Baru kini telah ditukar kepada Saudara Kita untuk mengalak timbulnya perasaan terasing bagi orang yang baru menganut agama Islam.


(iii) Penamaan saudara baru boleh dikategorikan kepada dua :


a) Penamaan Saudara Baru Bumiputera; dan

b) Penamaan Saudara Baru Bukan Bumiputera


(iv) Penamaan Saudara Baru Bumiputera bermaksud Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan Bumiputera Sabah dan Sarawak;


a. Penamaan seseorang saudara baru hendaklah tidak berunsurkan lucah dan hendaklah memberi makna yang sesuai dan baik. Contoh nama yang tidak baik dan lucah ialah Pantat binti Man.


b. Setiap orang yang memeluk Islam hendaklah dibin atau dibintikan kepada Abdullah atau mana-mana nama Asma" al-Husna yang berpangkalkan Abdul yang difikirkan sesuai atau yang biasa digunakan. Contohnya Uthman Bin Abdul Rahim.


c. Seseorang yang memeluk Islam, boleh mengekalkan nama bapanya dengan dibin atau dibintikan kepada bapanya itu. Contohnya ; Mohammad bin Ngat.


d. Seseorang yang mempunyai nama sebelum beliau memeluk Islam yang berunsur Melayu atau Arab yang memberi maksud yang baik dan dibin atau dibintikan kepada nama bapanya, nama itu boleh dikekalkan. Contoh : Majid bin Suhut atau Saad bin Manan.


e. Mana-mana saudara baru yang nama asalnya memberi maksud yang baik dan dibin atau dibintikan kepada bapanya seperti Budin bin Dolah; nama asal tersebut boleh dikekalkan.


f. Mana-mana saudara baru dari kalangan Bumiputera yang mempunyai nama asalnya yang berunsur kemelayuan, sama ada dirinya sendiri atau bapanya seperti Abd. Ghani bin Don atau Bujang bin Yot boleh dikekalkan.


g. Mana-mana saudara baru boleh menukar nama mereka dengan nama baru dan dibin atau dibintikan kepada Asma" al-Husna yang pangkalnya Abdul sekiranya beliau ingin berbuat demikian.


(v) Penamaan saudara baru bukan Bumiputera, bermaksud orang keturunan India, Cina atau lain-lain bangsa ;


a. Seorang saudara baru tidak boleh menukar keseluruhan namanya yang menggambarkan agama asalnya adalah Islam. Contohnya Tu Sun Hai tidak boleh menggunakan nama Ahmad bin Abdullah. Nama Islam yang boleh dipakai ialah Ahmad Sun Hai atau Ahmad Tan bin Abdullah.


b. Seseorang saudara baru boleh membuat pilihan sekiranya beliau ingin mengekalkan nama keluarga di samping nama baru dan dibin atau dibintikan kepada Asma" al-Husna yang dipangkalkan Abdul. Contohnya Lee Ping San ditukar kepada Mohd. Arif Lee Abdullah.


c. Nama keluarga boleh digunakan oleh saudara baru dan generasi yang seterusnya iaitu anak kepada saudara baru. Contohnya; Mohd Arif Lee bin Abdullah dan anaknya Ali bin Mohd Arif Lee.


d. Menamakan dengan nama baru boleh diikuti dengan nama asalnya dan dibin atau dibintikan kepada Asma" al-Husna yang berpangkalkan Abdul. Contohnya ; Balakrishnan a/l Maniam ditukar kepada Tajuddin Balakrishnan bin Abdullah.


e. Mana-mana nama asal bagi seseorang sebelum dia memeluk Islam yang membawa maksud nama-nama tuhan agama asalnya tidak boleh digunakan. Contoh ; Siva, Murugan dan lain-lain.


(vi) Pemilihan nama yang dikehendaki mestilah tidak melebihi 40 aksara ( 40 huruf ) di dalam kad pengenalan (KPT) seperti yang ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Negera. Sekiranya ejaan nama melebihi 40 aksara ( 40 huruf ) maka pemohon akan diberi pilihan untuk menentukan nama barunya tanpa mengugurkan nama asal dalam Kad Pengenalannya.


(vii) Nama penuh seperti yang telah diluluskan akan dimasukkan dalam Kad Pengenalan Nama (KPN ). Pemohon akan memegang tiga dokumen pengenalan diri iaitu Kad Pengenalan, Kad Pengesahan Nama dan Kad Memeluk Islam yang semuanya mencatatkan nombor kad pengenalan yang sama.



(viii) Penyelarasan penamaan saudara baru akan memudahkan urusan seperti berikut ;


a. mengenal pasti mayat, pengurusan jenazah, pembahagian harta pusaka dan sebagainya ;

b. mengawal saudara baru daripada murtad dengan sewenang-wenang;

c. pengenalan identiti agama seseorang.

Klik disini untuk mencetak