Buku Abuya Ashaari Muhammad - Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya
Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah, bil 3/2006 telah bersidang pada 13-14 Disember 2006 Miladiah / 22-23 Zulkaedah 1427 Hijriah, bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara 'BUKU ABUYA ASHAARI MUHAMMAD - PEMIMPIN PALING AJAIB DI ZAMANNYA dan telah memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa :
A. Buku 'Abuya Ashaari Muhammad - Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya' adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta mengelirukan masyarakat Islam oleh itu adalah diharamkan.
B. Bahawa pengharaman ini meliputi apa-apa terbitan sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk keluaran ulangannya, dan termasuklah apa-apa filem seperti wayang gambar, pita rakaman, cakera padat, cakera laser atau sebuah rekod walau bagaimanapun ianya dibuat, dari suatu imej berdasarkan penglihatan, yang mana adalah sebuah rekod yang mampu digunakan sebagai suatu alat menayangkan isi kandung buku di ( A ) di atas untuk dibaca, dilihat atau didengar.
Orang-orang Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan untuk dijual apa-apa terbitan berkenaan isi kandung buku di ( A ) di atas.
Tarikh Warta: 13 September 2007