Ajaran Bahai
Dengan ini dimaklumkan bahawa Fatwa telah dibuat dan diluluskan oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah di bawah seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992 adalah dengan ini disiarkan sebagai berikut :-
"A. Bahawa Ajaran Bahai adalah ajaran sesat. Umat Islam yang terlibat dengannya boleh membawa kepada murtad. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang dan haram melibatkan diri dengannya dan siapa yang telah terlibat hendaklah segera keluar dan bertaubat.
B. Bahawa pengharaman ini meliputi:
i. apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran tersebut di (A) di atas, dan termasuk apa-apa pegangan ideologi, falsafah atau sistem amalan yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan oleh Ahli Sunnah Waljamaah;
ii. apa-apa bahan publisiti termasuklah apa-apa terbitan sama ada yang dicetak, bertulis, ditaip atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran di (A) di atas.
Oleh itu, orang Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman Ajaran Bahai, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan apa-apa aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan dan aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan untuk menghidup, menyebar dan mengembangkan ajaran ini.
Orang-orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audia, pamplet, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran Bahai dengan ajaran Islam."
Keputusan ini telah diwartakan pada 11 Disember 2003