Ajaran Qadiani
Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah, bil 3/2006 telah bersidang pada 13-14 Disember 2006 Miladiah / 22-23 Zulkaedah 1427 Hijriah, bertempat di Bilik Mesyuarat, Pejabat Mufti Negeri Sabah, Kota Kinabalu, Sabah bagi membincangkan mengenai perkara 'AJARAN QADIANI dan telah memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa:
A) Ajaran Qadiani adalah ajaran sesat dan boleh membawa kepada murtad. Mana-mana orang Islam yang terlibat dengannya boleh mejadi murtad. Oleh itu, umat Islam adalah dilarang dan haram melibatkan diri dengannya dan siapa yang telah terlibat hendaklah segera keluar dan bertaubat.
B) Bahawa pengharaman ini meliputi:
i. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran tersebut di ( A ) di atas, dan termasuk apa-apa pegangan ideologi, falsafah atau sistem amalan yang tidak diakui dan bertentangan dengan syariat Islam dan pegangan oleh Ahli Sunnah Waljamaah;
ii. Apa-apa bahan publisiti termasuklah apa-apa terbitan sama ada yang dicetak, bertulis, ditaip atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk untuk dibaca, dilihat atau didengar yang berkaitan dengan ajaran di ( A ) di atas.
Oleh itu, umat Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman Ajaran Qadiani, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan apa-apa aktiviti ekonomi, sosial, program persembahan kesenian dan kebudayaan dan aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan untuk menghidup, menyebar dan mengembangkan ajaran ini.
Orang-orang Islam adalah juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, pamphlet, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran Qadiani dengan ajaran Islam.
Tarikh Warta 13 September 2007.