JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Gerakan Anti-Hadis

Kategori: Akidah
Tahun: 1995
Status Pewartaan: Diwartakan
Negeri: Sarawak
Keputusan
:

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali Ke 1 pada 8 & 9 Disember 1995M bersamaan 15 & 16 Rejab 1416H telah memutuskan tentang kepercayaan golongan anti-hadis yang bertentangan dengan akidah Islam serta pandangan rendah mereka kepada Rasululllah SAW. seperti berikut :


A. BAHAWA buku yang bertajuk;


(a)   “Hadis Satu Penilaian Semula” dan “Hadis Jawapan Kepada Pengkritik” yang kedua-duanya ditulis oleh Kasim Ahmad;


(b)  “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu-Hadith Di Dalam Al-Quran” yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;


(c)    “Bacaan” yang ditulis oleh Othman Ali


(d)    “The Computer Speaks – God's Message To The World” yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa, dan


(e)     Risalah “Iqra”


Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta boleh mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut antara lain, menolak hadith sahih (iaitu yang disahkan bersumber daripada Rasulullah SAW) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, meghina kedudukan Rasulullah SAW dan menghina Al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat Al-Quran tersebut.


B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut terdahulu adalah suatu kumpulan yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.


C. OLEH YANG DEMIKIAN

(1)  Mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “Hadis Satu Penilaian Semula”, “Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, “Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanku – Hadith Di Dalam Al-Quran', “Bacaan” atau “The Computer Speaks: God's Message To The World” dan risalah “Iqra” adalah haram;


(2)     Mana-mana orang atau kumpulan Islam adalah dilarang

(a) Untuk mengajar, mempelajari mengamalkan, berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku “Hadis Satu Penilaian Semula', Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, “Pendedahan        Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam Al- Quran”, “Bacaan” dan “The Computer Speaks : God's Message To The World”;


(b) untuk mencetak, menerbitkan, memilki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku “Hadis Satu Penilaian Semula', Hadis Jawapan Kepada Pengkritik”, “Pendedahan    Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam Al-  Quran', “Bacaan” dan “The Computer Speaks : God's Message To The World”, atau mana- mana bahagiannya termasuk :

◦  apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

◦  apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

◦  apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu

◦ pada atau atas apa-apa bahan, samaada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media;

        

(c) Untuk menjadi anggota atau memimpin mana-mana golongan Anti-Hadith yang tersebut dalam perenggan (1) atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian.




Klik disini untuk mencetak