JAKIM OFFICIAL WEBSITE
Responsive image
Tajuk
:

Permohonan Pandangan Mengenai Tafsiran Fajar Sadiq Dalam Penentuan Waktu Subuh Menurut Syarak

Kategori: Ibadah
Tahun: 2012
Status Pewartaan: Tidak Diwartakan
Negeri: Melaka
Keputusan
:

Mesyuarat jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 3/2012 yang bersidang pada 19 Zulkaedah 1433H bersamaan 5 Oktober 2012M telah membincangkan mengenai Permohonan Pandangan Mengenai Tafsiran Fajar Sadiq Dalam Penentuan Waktu Subuh Menurut Syarak. Mesyuarat telah membuat keputusan seperti berikut :

 

Ciri-ciri fajar menurut fiqh terbahagi kepada dua iaitu fajar kazib dan fajar sadiq. Fajar Kazib dapat dikenali berdasarkan ciri-ciri berikut :

a) ia merupakan bayangan cahaya yang muncul diufuk timur;

b) memancar dari bawah mengarah ke atas di tengah-tengah langit;

c) cahayanya muncul seketika, kemudian ia menjadi gelap;

d) cahayanya terpisah dari ufuk iaitu terdapat kegelapan antaranya dan ufuk;

e) pada kedua-dua sisinya (kiri dan kanan) adalah gelap dan warna cahayanya adalah putih yang bercampur dengan hitam seumpama seekor serigala;

f) cahayanya tidak begitu terang dan belum memancarkan rona kemerah-merahan dan cahayanya kelihatan berjurai-jurai.


 2. Ciri-ciri Fajar Sadiq seperti berikut

a) ia merupakan cahaya yang muncul sesudah fajar kazib;

b) cahayanya putih dan menyerlah serta kelihatan mendatar mengikut garis lintang ufuk timur dan perlahan-lahan menyebar naik ke langit;

c) tidak terdapat kegelapan antara cahaya tersebut dan ufuk;

d) cahayanya tidak menggelap bahkan sentiasa bertambah cerah dan ia berakhir setelah matahari muncul perlahan-lahan di ufuk timur.

 

Ulamak bersepakat bahawa fajar inilah yang terpakai padanya dalam penetapan hukum syarak bagi permulaan masuknya waktu Subuh dan puasa.

 

 3. Lafaz al-fajr dalam Surah al-Baqarah ayat 187 menurut para Ulama Tafsir adalah merujuk kepada Fajar Sadiq.

 

 4.Tahap kejelasan cahaya fajar sadiq yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah apabila cahaya fajar yang pertama sekali muncul dalam keadaan mendatar mengikut garis lintang ufuk timur menjadi terang dan jelas yang dapat diumpamakan seperti perbezaan benang putih (cahaya fajar) daripada benang hitam (kegelapan malam)


 5. Justeru, berdasarkan gambar-gambar cahaya fajar sadiq yang dirakamkan oleh pemohon semasa berada di dalam pesawat pada aras ketinggian 39,000 kaki daripada bumi, maka keadaan fajar sadiq yang boleh dianggap menepati tafsiran tersebut ialah ketika matahari berada pada kedudukan antara 16 hingga 18 darjah di bawah ufuk.

 

6. Mesyuarat bersetuju supaya kajian lanjut mengenai penentuan permulaan fajar sadiq dapat dilaksanakan melibatkan ahli-ahli jawatankuasa fatwa sendiri memandangkan terdapat perbezaan sudut waktu solat Subuh antara negeri-negeri Islam sehingga menimbulkan pertikaian. Di samping itu, wujud persoalan mengenai keabsahan waktu solat fardhu Subuh dalam takwim waktu solat yang dikeluarkan di negara ini kerana berdasarkan pemerhatian, fajar sadiq masih tidak kelihatan pada waktu Subuh yang dinyatakan.

 

Klik disini untuk mencetak