Ciri-Ciri Ajaran Sesat Yang Menyalahi Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah
Setelah meneliti dan membincangkan kertas kerja yang dibentangkan, maka mesyuarat membuat keputusan seperti yang berikut:
A) Bersetuju mengesahkan bahawa cirri-ciri ajaran sesat yang disenaraikan di bawah ini adalah merupakan amalan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ia adalah sesat dan menyeleweng dari akidah Islam yang sebenar serta haram dilakukan.
B) Ciri-ciri kesesatan dari segi Akidah, Syariah dan Akhlak tersebut adalah seperti berikut:
AKIDAH:
1. Mendakwa sebagai Tuhan;
2. Mendakwa Allah SWT bersifat selain daripada apa-apa sifat yang selayaknya bagi Allah SWT;
3. Mendakwa selain Allah SWT (makhluk) juga mampu mendatangkan sesuatu (manfaat dan mudharat);
4. Mendakwa setiap musibah datang makhluk halus (jin dan syaitan);
5. Mendakwa Allah SWT sebati di dalam diri (Wahdatul Wujud atau God Spot);
6. Mendakwa terima wahyu;
7. Mendakwa ghaib (tidak mati) dan akan muncul semula sebagai Imam Mahdi;
8. Mendakwa tahu perkara-perkara ghaib;
9. Mendakwa tahu bila kemunculan Imam Mahdi;
10. Mendakwa tahu nasib seseorang;
11. Mendakwa tahu huruf-huruf dalam kalimah tertentu mempunyai maksud yang tertentu;
12. Mendakwa mampu berinteraksi dengan orang mati, jin, syaitan atau malaikat secara langsung;
13. Mendakwa mampu memindah atau menangguhkan bala;
14. Mendakwa mampu berhubung terus dengan Allah SWT;
15. Mendakwa mampu menangguhkah Kiamat;
16. Mendakwa mampu melihat Allah SWT di dunia;
17. Mendakwa mampu melihat Rasullullah S.A.W secara sedar ( yaqazah);
18. Mendakwa mampu memindahkan kekuatan luar biasa kepada seseorang;
19. Mendakwa layak mengesahkan keislaman, menentukan jaminan keampunan Allah SWT dan kesudahan neraka atau syurga bagi seseorang;
20. Mendakwa akan ditimpa bala sekiranya mendedahkan isi-isi ajaran kepada umum;
21. Mendakwa roh orang mati mampu menjelma ke dalam jasad orang hidup;
22. Mendakwa roh orang mati mampu memberi pertolongan apabila diseru (kebiasaannya berlaku di kuburan yang dipercayai mempunyai keramat);
23. Mendakwa ada nabi selepas nabi Muhammad S.A.W ;
24. Mendakwa memikul tugas nabi atau rasul secara khusus;
25. Mendakwa sebagai nabi atau rasul;
26. Mendakwa sebagai wakil nabi atau rasul untuk memberi syafaat;
27. Mendakwa sebagai Imam Mahdi;
28. Mendakwa sebagai wali Allah;
29. Mendakwa sebagai jelmaan sahabat-sahabat nabi S.A.W atau syeikh-syeikh tertentu;
30. Mendakwa sebagai insan ma’sum;
31. Mendakwa dapat nur daripada Allah SWT dan para rasulnya;
32. Mendakwa dapat jaminan keampunan Allah SWT atau jaminan syurga;
33. Mendakwa memiliki kunci syurga
34. Mendakwa memiliki mukjizat;
35. Mendakwa memiliki ma’unah;
36. Mendakwa suara hati sebagai bisikan Allah SWT yang pasti benar untuk dituruti;
37. Mendakwa dosa dapat ditebus dengan wang;
38. Mendakwa nikmat atau azab kubur dan peristiwa-peristiwa selepas mati tidak wujud;
39. Mendakwa tidak perlu melaksanakan sebarang amal kebaikan kerana dosa dan pahala, neraka dan syurga telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi;
40. Mendakwa semua yang lahir daripada diri adalah benar datang daripada Allah SWT, ia tidak perlu dipersoalkan dan wajib dituruti;
41. Mendakwa semua manusia didunia ini mukmin (dengan hujah, naluri asal manusia mengaku wujudnya tuhan) dan kesudahan setiap manusia di akhirat kekal di dalam syurga;
42. Mendakwa semua agama adalah sama (pluralisme agama);
43. Mendakwa Ahlul Bait atau sahabat-sahabat nabi S.A.W yang tertentu sebagai kafir dan wajib dimusuhi;
44. Menghina apa-apa ajaran Islam yang bertepatan dengan Al-Quran dan Al-Sunnah;
45. Menghina naskhah Al-Quran melalui perkataan atau perbuatan;
SYARIAH
1. Menghalalkan sesuatu yang diharamkan dalam syariat Islam;
2. Mendakwa harus melakukan perkara haram, asalkan bertujuan mulia;
3. Mendakwa solat atau apa-apa amalan yang disyariatkan memadai dengan niat;
4. Mendakwa solat fardhu secara berjemaah bukan dalam syariat Islam;
5. Mendakwa kiblat solat boleh juga dihadapkan selain ke Kaabah;
6. Mendakwa fardhu haji boleh juga ditunaikan selain di Mekah;
7. Mendakwa telah sampai kepada hakikat (kesempurnaan insan) dan tidak perlu kepada sebarang syariat;
8. Mendakwa tareqat yang diamalkan sebagai jaminan kepada keredhaan Allah SWT, padahal terdapat unsur-unsur meragukan atau jelas menyalahi syariat;
9. Mendakwa As-Sunnah bukan sebahagia daripada sumber syariat Islam (golongan anti hadis);
10. Menolak sebarang tafsiran ayat Al-Quran atau teks hadis yang telah diijma’ oleh para ulama mu’tabar;
11. Mendakwa tidak bermazhab, tidak perlu mengikut mazhab atau merendah-rendahkan mereka yang beramal mengikut mazhab (mereka hanya merujuk teks-teks hadis sebagai sumber asal dalam memahami sesuatu amalan (tanpa melihat perbincangan ulama mazhab);
12. Mendakwa bid’ah dengan pengertian sesat dan pelakunya ahli neraka ke atas umat Islam yang melakukan apa-apa amalan yang tiada rujukan teks-teks hadis secara zahir, sedangkan terdapat pandangan ulama’ yang mengharuskannya;
13. Menghalalkan nikah adik beradik (mahram);
14. Mengharamkan kahwin dengan bukan ahli kumpulan;
15. Mengharamkan kahwin bekas isteri guru;
16. Menghalalkan kahwin mut’ah (kontrak);
17. Menghalalkan nikah batin atau ghaib (tanpa wali dan saksi);
18. Mengharamkan kahwin wanita yang diminati oleh guru;
19. Menghalalkan seks tanpa nikah;
20. Mendakwa penyakit hanya akan sembuh dengan melakukan persetubuhan atau apa-apa perlakuan ke arah perbuatan tersebut;
21. Mendakwa guru berhak keatas diri (maruah, kebiasaannya berlaku kepada pengikut wanita), keluarga dan harta kepada guru;
22. Mendakwa khalwat atau suluk sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT atau jaminan mendapat keredhaan, walaupun terpaksa mengabaikan amalan-amalan fardhu ( sebagai contoh: khalwat atau suluk tanpa solat fardhu dan solat jumaat);
23. Mendakwa fardhu haji hanya sah ditunaikan selepas berkhalwat atau suluk ditempat tertentu sebelum menunaikan fardhu haji;
24. Mendakwa sebarang kemusykilan ajaran tidak boleh dibincangkan;
25. Mendakwa wajib berpura-pura (taqiyyah) sebagaimana umat Islam biasa dengan tujuan menyembunyikan ajaran dan keselamatan diri;
26. Mendakwa pihak kerajaan yang boleh mengenakan tindakan kuatkuasa undang-undang ke atas mereka sebagai musuh paling utama;
27. Menghukum kafir dan wajib memerangi pemerintah Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam dalam perundangan negara dengan menganggap darah mereka adalah halal;
28. Mendakwa sebagai mati syahid mereka yang membunuh diri sendiri dengan melakukan serangan bom dikawasan-kawasan awam tertentu;
29. Mendakwa sebagai mati syahid mereka yang terbunuh ketika rusuhan (demonstrasi) yang melancarkan sebagai desakan terhadap tuntutan mereka ke atas kerajaan yang sah;
30. Mendakwa perjuangan menegakkan hukum Islam hanya melalui merebut, merampas atau mendapatkan jawatan-jawatan utama dalam negara;
31. Mendakwa bai’ah keatas pemimpin lebih utama, walaupun terpaksa melanggar ketetapan-ketetapan syarak;
AKHLAK
1. Mendakwa Allah SWT hanya menilai kebersihan batin;
2. Mendakwa tidak perlu mengikut syariat sekiranya tasawwuf telah sempurna;
3. Mendakwa sebagai Ahlul bait (tanpa bukti yang jelas) dengan alasan supaya diberi penghormatan, kedudukan atau apa-apa maksud dunia yang lain;
4. Mendakwa setiap sumbangan yang dihulurkan (kebiasaannya berbentuk wang) dijanjikan pulangan ganjaran tertentu (sering menggunakan janji-janji berbentuk agama untuk memiliki apa-apa yang diinginkan) dan sering kali memberi pelbagai alasan apabila janji tidak ditunaikan;
C) Mana-mana individu atau kumpulan yang mengamalkan mana-mana ciri-ciri (pegangan, fahaman dan amalan) tersebut diatas adalah sesat dan boleh diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa agama; dan
D) Bersetuju supaya Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melibatkan sekali agansi-agensi lain seperti Bahagian Pendakwaan dan Penasihat Undang-Undang dalam proses menyediakan draf sighah warta supaya lebih sempurna dan lengkap dari semua aspek agar dapat mengikat semua umat Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.