Penggantungan, Penjualan, Pengedaran Serta Penyimpanan Kitab Suci Al-Quran, Kaligrafi Islam Dan Barangan Berunsur Islam Oleh Orang Atau Premis Bukan Islam
Mesyuarat membincang kertas kerja tersebut dan mengambil keputusan seperti berikut:
1. Bagi menjaga kehormatan dan kemuliaan ayat-ayat suci Al-Quran dan kalimah-kalimah suci agama Islam, perbuatan menggantung apa jua ayat-ayat suci Al-Quran atau kalimah-kalimah suci agama Islam di premis-premis bukan Islam atau mana-mana tempat yang boleh mendedahkan kepada penghinaan, penipuan atau penyalahgunaan adalah dilarang oleh Islam.
2. Penjualan dan penyimpanan kitab suci Al-Quran di kedai-kedai dimiliki oleh orang bukan Islam adalah juga dilarang oleh Islam kerana boleh membawa kepada penghinaan ke atas kehormatan dan kesucian kitab tersebut.