Kumpulan Pemuda Kahfi @ Ajaran Bina Negara Islam (N11) @ Ma'had Al-Zaytun
Setelah meneliti kertas kerja yang dibentangkan maka mesyuarat membuat keputusan:
Hukum ajaran kumpulan Negara Islam Indonesia (N11) di Wilayah Persekutuan adalah sesat kerana menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Ini adalah kerana ajaran tersebut mempunyai ciri-ciri penyelewengan seperti berikut:
1. Dari segi akidah
i. Memberi definasi sendiri terhadap konsep tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan ubudiyyah. Bagi mereka konsep tauhid tersebut ialah dengan maksud menubuh Negara Islam Indonesia (N11) mengikut resipi mereka. Dalam pembelajaran dan dan penjelasan mengenai agama, hanya boleh merujuk kapada ketua mereka sahaja;
ii. Mengkafirkan kumpulan selain mereka. Mereka menganggap merekalah berpegang kepada akidah ahli Sunnah Waljamaah yang sebenar. Orang Islam yang tidak mengikut kumpulan itu dianggap tidak sah Islamnya;
iii. Fahaman dan doktrin mereka adalah berasaskan pemikiran ketua kumpulan yang didakwa bersandarkan Al-Qur’an. Dengan kata lain mereka menggunakan ayat Al-Qur’an dengan tafsiran mengikut keperluan kumpulan mereka seperti mengubah hukum dengan mengatakan solat hanya dua kali sahaja wajib sehari semalam dan solat subuh sewaktu program mereka sedang berjalan tidak diwajibkan;
iv. Semua aturan, perintah dan arahan ketua mereka adalah sama dengan perintah Allah SWT dan wajib dipatuhi;
v. Mendakwa kerasulan dan kenabian tidak berakhir kerana mereka menganggap setiap orang menyampaikan dakwah Islam juga dianggap rasulullah;
vi. Mana-mana ayat dalam al-Qur’an boleh ditafsir mengikut logik dan manuasia bebas mentakwil atau mentafsir ikut kehendak sendiri;
vii. Setiap muslim yang tidak ikut menjadi anggota mereka dianggap kafir dan darahnya halal;
2. Dari segi syariah
i. Membuat pungutan wang terhadap ahli-ahli dan orang ramai dengan dakwaan bertujuan menubuhkan negara Islam. Mereka juga memungut yuran kepada pelajar dan keluarga pelajar dengan kadar yang tinggi kononnya atas dasar suruhan agama yang difahami mereka. Kegiatan mereka ini seiring menggunakan berbagai istilah seperti sedekah, nafkah, harakat qurban dan sebagainya.
ii. Mendakwa bahawa zakat fitrah tidak dinilai dengan kadar 3.5 kilogram beras, kerana dosa setahun tidak wajar lagi dibersihkan dengan kadar tersebut. Fitrah dianggarkan oleh diri sendiri atau ketua mereka.
iii. Mendakwa bahawa ibadah korban keatas haiwan ternakan hanya sekadar lambang sahaja. Korban yang sebenar ialah bersama membangunkan negara Islam mengikut fahaman mereka.
iv. Mendakwa Rasul SAW membina negara Madinah hasil dari dana zakat fitrah.
v. Dosa berzina dan maksiat dapat dihapuskan dengan membayar sejumlah wang.
vi. Tidak ada kewajipan membayar (hutang) was-was, tetapi boleh dibayar dengan sejumlah wang.
vii. Bertaubat boleh dilakukan dengan membayar sejumlah wang dengan disebut sebagai “sedekah istighfar”.
viii Ibadah haji tidak wajib ditunaikan kecuali setelah menjadi pemimpin dalam kumpulan N11.
3. Dari segi akidah (umum)
i. Mengumpulkan dana dan wang dengan bersandarkan Islam. Mereka mempopularkan istilah yang didakwa sebagai Islam seperti:-
- Sedekah Musyahadah.
- Sedekah Munakahat.
- Sedekah Kaffarah/Tahkim.
- Sedekah Tertib.
- Harakat Ramadhan.
- Tazkiyyah Baitiyyah.
- Nafakah Daulah.
- Harakat Korban.
- Infak Tarbiyyah.
- Sedekah Masjid Rahmantan Lil ‘Alamin dan lain-lain.
ii. Setiap ahli diwajibkan mengumpul dana untuk pembangunan dan membantu operasi gerakan membina negara Islam dengan apa cara sekalipun, sama ada menipu, mencuri milik orang lain yang tidak menjadi ahli mereka termasuk orang tua sendiri.
iii. Bapa kandung yang tidak menjadi anggota gerakan ini tidak sah menikahkan anak perempuannya.